10 ADUN Bersatu gesa pecat Wan Saiful

SEPANG 30 Sept .- Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor daripada Bersatu  menggesa Lembaga Disiplin parti mengambil tindakan tegas iaitu memecat Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan serta tiga lagi pemimpinnya.

Mereka mendakwa Wan Saiful serta dalang lain disebalik usaha terancang mahu menjatuhkan Presiden Bersatu,  Muhyiddin Yasin melalui gerakan akuan bersumpah (SD) sedang memutar belit fakta dan cuba mengubah naratif selepas komplot yang mereka rancang sebelum ini gagal.

“Penipuan tidak boleh ditutup dengan siri penipuan baharu. Tindakan ini mestilah berbentuk pemecatan serta-merta daripada parti demi menjaga disiplin, integriti dan maruah perjuangan.

“Ketegasan ini penting untuk memelihara keyakinan rakyat serta memastikan parti terus kekal utuh dan dihormati,” kata kumpulan wakil rakyat itu dalam satu kenyataan.

Selain Wan Saiful, turut dikaitkan dengan percubaan menjatuhkan Muhyiddin melalui gerakan SD sebelum ini adalah Ketua Bahagian Bersatu Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali; Ketua Bahagian Ampang, Isa Saidi serta Ketua Bahagian Ipoh Timur, Muhd Fadhli Ismail.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan ADUN Kuang, Mohd Rafiq Mohd Abdullah; Rosnizan Ahmad (Morib); Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis); Dr Afif Bahardin (Taman Medan); Muhammad Hilman Idham (Gombak Setia), Harrison Hassan (Jeram).Jamil Salleh (Dengkil), Noorazley Yahya (Bukit Melawati); Nurul Syazwani Noh (Permatang) dan Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Batang Kali).

Mengulas lanjut, mereka menjelaskan perkara yang sewajarnya diberi perhatian oleh Wan Saiful ketika ini adalah berdepan kes mahkamahnya sendiri.

“Wan Saiful bukan saja sudah disiasat, malah kini berdepan dengan pendakwaan di mahkamah atas pertuduhan menggelapkan wang jutaan ringgit.

“Pendakwaan ini membuktikan pihak berkuasa mempunyai asas kukuh dan beliau wajar menjawab pertuduhan tersebut di muka pengadilan, bukannya menyerang pihak lain dengan tuduhan tidak berasas,” katanya.

Mereka turut mengecam keras fitnah jijik yang diulang terhadap Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali berkait isu ketulenan klip video, sedangkan kes berkenaan sudah pun disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) secara mendalam lebih daripada lapan bulan lamanya.

“Pada 9 Januari 2020, Peguam Negara ketika itu sudah mengesahkan bahawa selepas meneliti semua bukti dan keterangan, Timbalan Pendakwa Raya sebulat suara mengesyorkan tiada kes untuk pertuduhan.

“Syor itu diterima oleh Peguam Negara dan memutuskan tiada sebarang pendakwaan dibuat,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment