KUALA LUMPUR 15 Sept. – Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh dilantik Setiausaha Agung PKR berkuat kuasa serta-merta, menggantikan Saifuddin Nasution Ismail yang juga Menteri Dalam Negeri.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Saifuddin melepaskan jawatan itu bagi menumpukan usaha beliau sebagai Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), anggota Biro Politik PKR dan ahli Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, penyusunan semula beberapa jawatan penting itu diputuskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) hari ini, dalam usaha memantapkan gerak kerja parti.
Susulan itu, jawatan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Pahang yang sebelum ini disandang Fuziah akan digantikan oleh Rizal Jamin.
Bagi negeri Perak pula, Mohamad Hairul Amir Sabri dilantik sebagai Pengerusi MPN bagi menggantikan Chang Lih Kang, manakala Lih Kang terus menjawat Naib Presiden PKR manakala Mohd Azlan Helmi sebagai Timbalan Pengerusi MPN Perak.
Selain itu, Nik Nazmi berkata MPP PKR turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan dengan dianggotai Naib Presiden, Nurul Izzah Anwar, Fuziah Salleh, Bendahari Agung William Leong, Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Muhammad Kamil Munim dan Timbalan Ketua Wanita, Juwairiya Zulkifli, manakala Saifuddin dilantik sebagai penasihat.
Nnn
