TEMERLOH 14 Sept, – Pas mengulangi kesediaan menjalinkan semula kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) dengan syarat tanpa Pakatan Harapan (PH), usaha untuk menyatukan orang Melayu Islam dan bumiputera.
Presidennya, Abdul Hadi Awang berkata, selagi PH berpegang pada prinsip dan dasar pragmatik yang tidak konsisten, Pas tidak akan bersama dengan parti itu.
“Komponen dia (PH) bukan parti yang ada dasar teguh…ada dasar yang canggah dengan perjuangan kita, contoh DAP yang sekular, Malaysian Malaysia dan politik antarabangsa pun dia ikut Singapura, ikut Taiwan, US (Amerika Syarikat),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas di Kompleks Al Makmur di sini, hari ini.
Terdahulu, dalam ucapan dasarnya, Abdul Hadi berkata, Pas tetap teguh mempertahankan PN dan sama sekali tidak berhasrat menyertai PH dalam apa jua bentuk.
Abdul Hadi berkata, rancangan (MN) itu memang ada dan turut melibatkan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Bumiptera Perkasa Malaysia (Putra), Dr Ibrahim Ali.
Katanya, setakat ini perbincangan tidak melibatkan Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
“Yang asal kita bincang ialah penyatuan orang Melayu Islam dan bumiputera, sebabkan pihak-pihak UMNO, tidak Zahid Hamidi.
“Pemimpin UMNO masa Zahid cuti setuju kumpul ahli Parlimen bumiputera untuk ambil alih kerajaan bersama Bersatu. Kita berjaya ambil alih kerajaan (pentadbiran Perikatan Nasional dahulu). Tak kukuh, tak kuat kedudukan.
Tapi ada kejayaan, ada kesan dia…kesan dia ialah beberapa pempimpin UMNO bersama kita, cuma segelintir saja dengan Zahid,” ujarnya.
Ahli Parlimen Marang itu menekankan perlu dibezakan antara ‘orang UMNO ’ dan ‘parti UMNO’ itu sendiri.
“UMNO ada sejarahnya tersendiri, mereka bersama Pas memperjuangkan kemerdekaan negara. Kita juga pernah bersama-sama dalam menegakkan syiar Islam dengan menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara, termasuk selepas peristiwa 13 Mei, di mana kedua-dua pihak berjaya membantu mengawal keadaan negara,” ujar beliau.
Katanya lagi, Pas juga pernah menyokong pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengekang pengaruh komunis yang mengancam keselamatan negara pada suatu ketika dahulu.
“Ini membuktikan bahawa dalam situasi-situasi tertentu, Paa dan UMNO mampu bekerjasama demi kepentingan agama, bangsa, dan negara,” katanya.
