TEMERLOH 14 Sept. – Pas dan ahlinya tidak ada kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) yang kini sedang disiasat, termasuk berkait isu eksploitasi kanak-kanak, kata Presidennya Abdul Hadi Awang,
Justeru beliau menafikan dakwaan dalam laporan media antarabangsa yang mengaitkan parti itu dan ahlinya dengan GISBH
“Tidak ada hubungan dengan kita langsung walaupun (laporan) beberapa media antarabangsa mengaitkan (Pas dengan GISBH). Itu adalah satu berita yang salah.
Tidak ada (kaitan dengan GISBH). Bukan ahli kita (terbabit)… bukan (ada) kaitan dengan kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-70 di Kompleks Al-Makmur, Kerdau, di sini, hari ini.
Beliau bagaimanapun tidak menyebut media antarabangsa yang dimaksudkan mengaitkan parti itu dengan organisasi berkenaan,
Ditanya pendirian Pas berhubung dakwaan bahawa GISBH menyeleweng agama untuk mengeksploitasi kanak-kanak dan perniagaan, Abdul Hadi berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan.
Sementara itu, bagi memastikan tidak timbul isu eksploitasi dalam sistem pendidikan kelolaan Pas seperti di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) pula, terdapat jawatankuasa yang memantau institusi berkenaan dan keadaan adalah terkawal.
Abdul Hadi sekali gus mengesahkan sistem pendidikan kelolaan Pas dijalankan sendiri tanpa ‘hubungan’ dengan pihak luar yang lain.
“Dalam Pas, insya-Allah kita terkawal. Kita ada lajnah… jawatankuasa untuk mengawal. Pentadbiran kita sendiri… dengan pihak lain, kita tiada hubungan,” katanya.
Nnnn
