KLUANG 7 Sept. – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengalu-alukan siasatan berhubung tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu pada masa yang sama menafikan dirinya terlibat dalam pemberian tender perkhidmatan 1BestariNet ketika menjadi Menteri Pendidikan.
“Wallahi, satu sen pun saya tidak ambil,” katanya ketika menjawab soalan mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet itu.
Bekas Perdana Menteri itu menjelaskan terpulang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan berhubung isu tersebut.
“Benar ketika itu saya merupakan Menteri Pendidikan tetapi dicadangkan untuk mengadakan tender terbuka, terbuka ‘international’ dan keputusan dibuat oleh Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
Dulu dah pernah siasat dan dah pernah dibangkitkan, tapi senyap begitu sahaja. Sekarang timbul balik, apa sebab SPRM nak siasat, saya pun tak tahu.
“Saya tidak terlibat langsung dalam sangkaan buruk itu, kerana sebab ia berlaku sewaktu saya menjadi Menteri Pendidikan,” katanya selepas menghadiri kenduri rakyat di Kampung Bentong Luar, di sini, hari ini.
Menurut Muhyiddin lagi, ketika itu projek terbabit dicadangkan untuk tender terbuka serta dilakukan secara tender terbuka antarabangsa.
Keputusan itu, katanya dibuat oleh Najib (selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan) namun tidak membabitkan beliau.
“Dia (Najib) yang pilih, jadi kenapa ada yang membabitkan saya… kontrak pun saya tak tengok dan apa-apa peruntukan projek itu disediakan oleh Menteri Kewangan.
“Ini ada pula cerita baharu berkenaan soal tuntutan palsu, saya pun tak tahu. Ini pun saya tahu selepas baca surat khabar,” katanya.
Terdahulu, SPRM dilapor menyita sejumlah dokumen berkaitan projek dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL) pada 2011.
Pada 2019, Menteri Pendidikan ketika itu, Maszlee Malik, memutuskan untuk tidak menyambung kontrak YTL Communications.
Dua tahun kemudian, Maszlee mendakwa Muhyiddin mendesak perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad, agar beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkaitan dengan kontrak YTL Communications.
Nnnn
