SEPANG 6 Sept. – Menu yang ditetapkan tenggiri tetapi yang dihidang lain. Situasi inilah menyebabkan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara),Dr Asyraf Wajdi Dusuki, ‘berang’ apabila pengusaha dewan selera sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak gagal mematuhi menu berkenaan.
Ketika membuat ‘terjahan’ di Dewan Selera MRSM Taiping semalam, Dr Asyraf Wajdi membangkitkan mengenai kebersihan serta menu untuk pelajar-pelajar.
Menurut Asyraf Wajdi, mengikut menu yang tertera di dinding, ikan tenggiri menjadi hidangan untuk makan malam semalam tetapi mendapati tenggiri digantikan dengan ikan goreng lain, dipercayai ikan selayang.
Melalui perbualan dengan pengusaha berkenaan yang turut disiarkan melalui Facebook Dr Asyraf, pengusaha itu gagal memberi penjelasan kenapa menu ikan tenggiri bertukar sebaliknya ‘menyalahkan’ harga ikan di pasaran.
“Saya rasa doktor…lebih baik doktor check dulu harga market (pasaran) sekarang dengan harga yang dibayar kepada kontraktor,” kata wanita itu yang dikenali sebagai Puan Mira.
Pada masa yang sama, Asyraf Wajdi juga membangkitkan keadaan kebersihan termasuk dapur yang teruk Saya tanya kat doktor termasuk terdapat tahi cicak.
“Berang bukan kerana tidak ikut kontrak perjanjian termasuk soal menu tapi yang paling utama kebersihan hingga membawa kepada kes berulang keracunan makanan,” katanya
Menjawab tahap kebersihan, wanita itu berkata: “Saya tanya kat doktor, kalau kita boleh tahan ke cicak tu untuk berak …takkan saya nak tunggu cicak berak,”
Asyraf Wajdi mengambil inisiatif meninjau keadaan di dewan selera itu bagi melihat penyediaan makanan selepas menerima aduan daripada ibu bapa pelajar mengenai kes keracunan makanan pada 30 Ogos lalu.
Kes itu membabitkan seramai 31 pelajar dengan ada dalam kalangan mereka terpaksa dikejarkan ke hospital.
Susulan itu, Asyraf Wajdi berkata, pihaknya memberi tempoh kepada pengusaha dewan makan terbabit sehingga esok untuk menyelesaikan isu ini atau tindakan selanjutnya akan dikenakan.
Menurutnyq, lebih mengejutkan apabila insiden keracunan di situ bukan pertama kali berlaku, sebaliknya kes sama pernah terjadi tahun lalu apabila seramai 50 orang terjejas pada Oktober tahun lalu.
“Ketika terjahan dilakukan, saya dapati beberapa perkara tidak mengikut piawaian ditetapkan Mara antaranya pekerja tidak mencukupi, tidak mengikut menu harian ditetapkan serta keadaan kebersihan dapur yang berada di tahap tidak memuaskan.
“Rupa-rupanya ini bukan kes pertama yang berlaku, ketika berjumpa dengan pelajar yang menjadi mangsa keracunan makanan ini, mereka memaklumkan bahawa tahun lepas juga seramai 50 orang terkesan dengan isu keracunan makanan.
“Mereka juga berkongsi kepada saya gambar ulat dalam nasi, sayur dan serangga di dalam hidangan yang amat mendukacitakan saya,” katanya.
