35 lagi rakyat Palestin terbunuh

KAHERAH – Sekurang-kurangnya 35 rakyat Palestin di seluruh Gaza terbunuh dalam serangan terbaharu tentera Israel yang sepatutnya dihentikan bagi membolehkan kempen vaksinasi polio, yang memasuki hari ketiga.

Walaupun wujud persefahaman untuk membolehkan kempen vaksinasi polio, pasukan pertahanan Israel (IDF) masih terus berperang dengan pejuang pimpinan Hamas.

Menurut Perkhidmatan Kecemasan Awam Palestin, empat wanita di bandar selatan Rafah antara yang terbunuh selain lapan lagi menjadi korban perang berhampiran hospital di Bandar Gaza di utara.

Sementara itu, menurut pegawai perubatan, serangan udara Israel semalam turut membunuh sembilan rakyat Palestin yang berada dalam sebuah rumah berhampiran Jalan Omar Al-Mokhtar di tengah Bandar Gaza.

Satu lagi serangan berlaku berhampiran sebuah kolej di Sheikh Radwan di pinggir utara bandar itu.

Dalam pada itu, tentera Israel berkata, serangan itu menyasarkan pejuang Hamas yang beroperasi dari pusat kawalan berpangkalan di dalam bekas Kolej Nama.

Memetik seorang doktor, mangsa yang selebihnya terbunuh dalam serangan udara berasingan di seluruh wilayah yang terkepung itu.

Tentera Israel berkata, pihaknya membunuh lapan lelaki bersenjata Palestin termasuk seorang komander kanan Hamas yang terbabit dalam serangan 7 Oktober di Israel, di pusat kawalan berhampiran Hospital Arab Al-Ahli di Bandar Gaza.

Dalam pada itu, sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam berkata mereka sedang memerangi tentera Israel di pinggir bandar Zeitoun di Bandar Gaza dan juga di Rafah dan Khan Younis di selatan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment