WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menggesa rundingan gencatan senjata antara Israel dan Hamas dimuktamadkan segera susulan kematian enam tebusan di Gaza baru-baru ini.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Matthew Miller, berkata, masih terdapat berpuluh-puluh orang tebusan berada di Gaza menunggu rundingan dimuktamadkan untuk membolehkan mereka pulang.
“Rakyat Israel tidak lagi berdaya untuk terus menunggu. Begitu juga rakyat Palestin yang turut menanggung kesan buruk peperangan ini. Malah, seluruh dunia juga tidak mampu untuk menunggu lebih lama lagi,” katanya kepada pemberita.
Miller berkata, dalam beberapa hari ini, AS akan bekerjasama dengan negara pengantara Mesir dan Qatar bagi mendesak rundingan dimuktamadkan.
Namun, satu perkara penting ialah desakan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang mahu tenteranya terus ditempatkan di sempadan antara Gaza dan Mesir.
Menurut Miller, cadangan yang dikemukakan AS dan dipersetujui kerajaan Israel sebelum ini, tidak termasuk pengunduran pasukan pertahanan Israel (IDF) dari kawasan berpenduduk padat, yang turut merangkumi koridor Philadelphi.
“Kami menentang keberadaan jangka panjang tentera IDF di Gaza. Justeru, kedua-dua pihak perlu anjal supaya dapat memuktamadkan rundingan. Ini memerlukan kedua-dua pihak mencapai kesepakatan untuk bersetuju berbanding menolaknya,” katanya.
Tekanan ke atas Israel semakin meningkat dengan kerajaan pimpinan parti Buruh baharu Britain pada Isnin lalu mengumumkan pemberhentian beberapa eksport senjata ke Israel kerana ‘risiko jelas’ peralatan itu boleh digunakan untuk melakukan pelanggaran serius undang-undang antarabangsa.
Nnn
