34 % nahas maut libatkan kenderaan berat

PUTRAJAYA  4 Sept. – Sebanyak 34 peratus daripada kemalangan maut di Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) sepanjang tahun lalu berpunca daripada nahas yang melibatkan kenderaan berat.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, berkata walaupun komposisi kenderaan berat di Lebuhraya PLUS hanya 10 peratus, namun 21 peratus daripada kemalangan yang direkodkan melibatkan jenis kenderaan yang sama.

Berikutan itu, Persidangan Keselamatan Kenderaan Berat (HEVTEC) 2024 diadakan sejak Isnin dan berakhir hari ini sempena Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Persidangan anjuran PLUS dengan kerjasama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu melibatkan penyertaan 200 peserta dalam kalangan pemain sektor pengangkutan berat.

Ia bagi membincangkan inisiatif keselamatan membabitkan kenderaan berat di negara ini, bertujuan mencari pendekatan dan langkah terbaik mengurangkan risiko kemalangan membabitkan kenderaan berat.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, impak kemalangan membabitkan kenderaan berat adalah amat besar kepada pengguna lebuh raya, menyebabkan kesesakan teruk selain lencongan trafik susulan penutupan laluan.

Tempoh pengalihan serta pembersihan juga sering mengambil masa panjang dan memerlukan penggunaan jentera berat dan peralatan khas yang boleh menjejaskan dan menyukarkan perjalanan pengguna lain.

“Berdasarkan pemerhatian, kenderaan berat dengan muatan lebih berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan. Justeru, kami berharap semua operator kenderaan berat memainkan peranan dan mematuhi had muatan dibenarkan bagi meningkatkan lagi tahap keselamatan di lebuh raya,” katanya.

Nik Airina berkata, PLUS sentiasa memberi penekanan utama dan komitmen terhadap inisiatif meningkatkan tahap keselamatan di lebuh raya selari objektif serta Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (PKJRM) 2022-2030.

Beliau berkata, PKJRM 2022-2030 mengetengahkan visi dan misi yang menyasarkan pengurangan 50 peratus jumlah kematian nahas jalan raya pada 2030, berasaskan jumlah kematian pada 2019.

Bagi mencapai matlamat PKJRM, katanya, PLUS juga sudah melaksanakan pelbagai inisiatif melalui Konsep 5E iaitu kejuruteraan, penguatkuasaan, pendidikan, tindak balas kecemasan dan penilaian.

“Isu keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama. Ia menuntut tanggungjawab dan komitmen daripada semua pihak, termasuk pengendali lebuh raya, badan kerajaan, sektor swasta, pemain industri dan orang awam.

“Dengan wujudnya usaha kolaboratif antara pelbagai pihak berkepentingan seperti Lembaga Lebuhraya, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, MIROS dan Perkeso, PLUS yakin ia akan menyumbang kepada peningkatan secara holistik dalam aspek keselamatan jalan raya,” katanya.

Related posts

Leave a Comment