PN bincang syarat MoU peruntukan

KOTA BHARU 3 Sept. – Satu sesi taklimat dan perbincangan bersama semua Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) akan diadakan minggu depan bagi membincangkan syarat draf memorandum persefahaman (MoU) peruntukan yang dikemukakan Kerajaan Perpaduan.

Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata satu keputusan akan dibuat menerusi perbincangan itu yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur pada 9 September ini.

“Susulan perbincangan itu, terdapat wakil yang akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan kita berharap akan mendapat satu keputusan kolektif pada 9 September ini,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Semalam Takiyuddin dilapor berkata tujuh syarat keseluruhannya digariskan di bawah draf MoU Mengenai Peruntukan Pembangkang yang diterima beliau pada 6 Ogos lalu, yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan seperti dituntut.

Syarat itu termasuk pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15 dan perkara berkaitan bangsa, agama dan Raja-Raja (3R).

Ditanya mengenai butiran syarat draf MoU itu, beliau bagaimanapun berkata ia tidak dapat dijelaskan secara terperinci memandangkan dokumen diberikan kepadanya itu bertarikh 6 Ogos lalu berstatus rahsia.

“Sebagaimana saya bayangkan serba sedikit, kita melihat draf diberikan kepada kita mempunyai unsur yang mensyaratkan kita sebelum kerajaan buat keputusan untuk memberikan peruntukan.

“Jika sebelum ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mengatakan tiada syarat (sebaliknya) hanya perbincangan, namun apa yang saya boleh katakan tujuh syarat dikenakan Kerajaan Perpaduan yang dinamakan tujuh prinsip kehidupan awam.

“MoU berkenaan juga dianggap terbatal sekiranya kita melanggar mana-mana tujuh syarat yang dikemukakan itu,” katanya.

Takiyuddin juga berkata, kerajaan sepatutnya menyenaraikan jumlah peruntukan akan diberikan bagi memudahkan perbincangan dalam kalangan mereka dilakukan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment