Dua pemimpin MHO dipanggil polis

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Dua pemimpin Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pemerdagangan manusia di Myanmar yang turut didakwa membabitkan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan suaminya.

Setiausaha Agung MHO,  Hishamuddin Hashim, berkata beliau bersama ahli jawatankuasa, Azirul Shafiq memberi keterangan pada pukul 9.30 pagi.

Susulan itu, beliau juga menyerahkan beberapa dokumen kepada pegawai penyiasat Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

“Kami (MHO) dipanggil merakam keterangan oleh Atipsom bagi membantu siasatan isu pemerdagangan manusia. Kami tidak menyasarkan mana-mana pihak sebaliknya menyerahkan segala dokumen yang dipercayai dapat membantu siasatan.

Selain itu, kita juga buat serahan laporan artikel yang dikeluarkan oleh ‘United States Institute Of Peace’ yang mengaitkan pembabitan rakyat Malaysia dan sebuah syarikat berdaftar di China.

“Artikel itu sudah menjadi rahsia terbuka menceritakan mengenai pembabitan individu rakyat Malaysia yang ditulis secara jelas dan amatlah ketinggalan sekiranya kita tidak membuat siasatan mengenainya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jurnal berkenaan sudah disiarkan secara umum dan ia perlu disiasat termasuk pembabitan rakyat Malaysia.

Katanya, siasatan juga perlu dilakukan ke atas penubuhan sebuah syarikat dikaitkan dengan pemerdagangan manusia yang didakwa sudah disenarai hitam di Amerika Syarikat.

Beliau berkata, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memperjuangkan isu pemerdagangan manusia dan sudah menyelamatkan lebih 300 rakyat Malaysia yang menjadi mangsa di Myanmar mahu kes berkenaan disiasat secara adil.

“Saya harap siasatan tidak terpilih ke atas semua pihak terbabit sindiket sama ada di Malaysia atau luar negara. Sekiranya dalang tidak ditangkap dan didakwa, sampai bila-bila kes ini tidak selesai,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan MHO menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya, membabitkan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mashitah Ibrahim bagaimanapun tampil menafikan dan mendakwa tuduhan itu dikutip daripada media picisan di Indonesia.

Ketua Polis Negara, Razarudin Husain dilaporkan berkata, siasatan masih diteruskan dengan mengesan Datuk Seri yang didakwa terbabit kes itu serta penulis artikel dari Indonesia, yang perlu dirakam percakapan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment