Netanyahu tidak lakukan usaha mencukupi

WASHINGTON – Presiden Joe Biden mengkritik Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang didakwa tidak mengambil usaha yang mencukupi untuk mencapai persetujuan perjanjian pembebasan tebusan yang ditawan pejuang Palestin, Hamas.

Beliau menjawab “tidak” apabila ditanya pemberita di White House – sama ada beliau berpendapat pemimpin Israel itu telah mengambil usaha yang memadai.

Presiden Amerika Syarikat (AS) itu mengadakan pertemuan dengan perunding AS mengenai perjanjian pembebasan tebusan itu selepas kematian enam tebusan di Gaza pada hari Sabtu, termasuk seorang warganegara AS.

Menurut Biden, perunding “sangat hampir” dengan cadangan muktamad untuk dibentangkan kepada Israel dan Hamas.

Jadual Biden telah disusun atur semula bagi membolehkan beliau meluangkan masa menghadiri mesyuarat di White House yang juga akan dihadiri oleh Naib Presiden, Kamala Harris, yang bertanding untuk menggantikannya dalam pemilihan presiden November.

White House dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris akan bertemu “dengan pasukan perunding perjanjian tebusan AS berikutan pembunuhan warga Amerika Hersh Goldberg-Polin dan lima tebusan lain oleh Hamas dan membincangkan usaha untuk memacu ke arah perjanjian yang menjamin pembebasan tebusan yang tinggal”.

AS bersama rakan pengantara Mesir dan Qatar telah menghabiskan masa berbulan-bulan mendesak pertukaran tebusan dan gencatan senjata dalam perang di Gaza.

Hamas didakwa menawan 251 tebusan semasa serangan ke atas Israel pada 7 Oktober 2023 dan puluhan tebusan telah dibebaskan semasa gencatan senjata selama seminggu pada bulan November.

Dalam pada itu, Mahkamah Israel mengarahkan demonstrasi dan tunjuk perasaan yang disifatkan terbesar oleh kesatuan negara itu dihentikan.

Related posts

Leave a Comment