PUTRAJAYA 2 Sept. – Kementerian Pengangkutan menunggu laporan lengkap daripada Malaysia Airlines Berhad (MAB) berhubung pesawat MH66 yang terpaksa berpatah balik ketika dalam penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan, semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata beliau sendiri sudah berhubung dengan syarikat penerbangan terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai insiden itu.
“Saya sudah berhubung dengan mereka (MAB), jadi kita tunggu laporan lengkap berkenaan dengan masalah teknikal terbabit.
“Saya sudah meminta pihak MAB untuk membuat kenyataan berkenaan perkara itu,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di sini, hari ini.
Terdahulu MAS mengesahkan penerbangan MH66 ke Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan semalam, berpatah balik sebagai tindakan berjaga-jaga susulan masalah teknikal dengan sistem hidraulik.
Dalam kenyataannya, MAS berkata, penerbangan ke Incheon dijadualkan semula untuk beroperasi sebagai MH66D dan dijadual berlepas jam 8 malam ini.
“Pesawat itu selamat mendarat di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 1.30 pagi tadi.
Semua penumpang ditempatkan di sebuah hotel manakala penerbangan dijadualkan semula untuk beroperasi sebagai MH66D yang berlepas jam 8 malam ini, 2 September,” katanya.
Kenyataan MAS menyebut, penerbangan pulang MH67D turut dijadualkan semula untuk berlepas pada jam 5.10 pagi esok waktu Incheon.
“Keselamatan dan kesejahteraan penumpang dan anak kapal menjadi keutamaan pihak MAS,” katanya.
NNNN
