Motosikal baharu wajib miliki ABS

PUTRAJAYA 2 Sept. – Mulai 1 Januari 2025, semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc dan ke atas wajib memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, langkah itu adalah antara insiatif menangani kes kemalangan jalan raya, khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

“Mari kita bermula dengan menjadikan penunggang motosikal lebih selamat kerana 65 peratus daripada jumlah kematian jalan raya tahun lalu, membabitkan penunggang motosikal,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Persidangan Keselamatan Jalan Raya Asia (CARS) 2024 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan memutuskan perkara itu kerana berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), ABS berupaya mengurangkan kadar kemalangan maut sebanyak 31 peratus.

Malaysia antara negara di Asia Tenggara yang berdepan isu ini. Walaupun kadar kematian per 100,000 orang turun daripada 27 peratus pada 2000 kepada 22.5 peratus pada 2019, ia tetap antara yang tertinggi di dunia.

“Jadi saya yakin inisiatif ini akan mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan jalan raya di Malaysia,” katanya.

Beliau juga berharap insiatif terbabit dapat menjadi inspirasi kepada negara ASEAN lain untuk melaksanakan langkah sama, sekali gus menjadikan motosikal sebagai kenderaan yang selamat digunakan.

Selain itu, Ahmad Zahid mencadangkan supaya Program Penilaian Motosikal di Malaysia (MyMAP) dilaksanakan di seluruh negara ASEAN atau Asia.

Katanya, MyMAP yang memberi penarafan kepada motosikal berdasarkan piawaian kenderaan itu mampu memberi kelebihan kepada pengguna untuk membuat penilaian sebelum membeli kenderaan berkenaan.

Setakat ini, MyMAP sudah menilai 28 jenis model motosikal dihasilkan tujuh syarikat pengeluar dan kenderaan ini diberikan rating ‘bintang’.

Related posts

Leave a Comment