SG4 terima komitmen pelaburan

BANGI 2 Sept. – SG4 Group Sdn Bhd, syarikat yang ditubuhkan empat negeri pembangkang sudah menerima komitmen pelaburan daripada beberapa negara termasuk Korea Selatan dan Jepun.

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, bagaimanapun berkata, jumlah pelaburan berkenaan masih belum boleh diumumkan, sehingga ia dapat direaliasasikan.

Di samping itu ada juga yang sedang dalam perbincangan dengan China namun jumlah pelaburan itu, tidak dapat diumumkan kerana masih pada peringkat awal, dengan kemungkinan boleh jadi atau tidak jadi.

“Saya tidak mahu menjadi seperti sesetengah pihak, (pelaburan) yang berpotensi pun disebut dalam angka untuk diuar-uarkan.

Bila direalisasikan, barulah kita sebut angka, jadi banyak lagi masih pada peringkat perbincangan ketika ini,” katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak State Government 4 (SG4) di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud; Menteri Besar Kedah,  Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.

Mengenai sasaran pelaburan syarikat, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan ditentukan, namun ia mesti angka yang boleh dicapai.

“Kita akan bergerak dalam keadaan semasa yang ada dulu. Tentulah kita nak lihat dari segi angka yang munasabah bagi negeri SG4,” katanya.

Mengulas potensi negeri SG4, Ahmad Samsuri menyifatkan ia amat besar, merangkumi bidang pembangunan baharu seperti sumber asli dan mineral kritikal, pertanian dan keterjaminan makanan, teknologi hijau dan kredit karbon, perdagangan dan ekopelancongan, industri halal dan teknologi kewangan syariah serta pendidikan.

“Pembangunan negeri Pantai Barat yang menuju ke arah saturasi dan kekangan sumber membuka ruang kepada negeri SG4 yang masih memiliki zon industri yang lebih luas dan kos yang lebih efektif untuk menarik pelaburan berpotensi tinggi,” katanya.

 

(Foto MB Terengganu)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment