BANGI 2 Sept. – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menubuhkan sebuah syarikat dinamakan SG4 Sdn Bhd bagi berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada empat-empat negeri itu secara saksama.
Menerusi syarikat tersebut, setiap negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) itu akan memiliki saham dan ekuiti yang sama.
Menurut Penasihat SG4, Dr Mahathir Mohamad,, setiap negeri memiliki 25 peratus saham syarikat tersebut dan ia bagi memastikan negeri yang ketinggalan jauh seperti Perlis, juga mendapat hasil yang sama seperti negeri lain.
Mengenai aspek ekonomi yang akan menjadi tumpuan syarikat tersebut, Dr Mahathir menegaskan elemen nadir bumi (REE) antara yang akan diberi perhatian.
“Umpamanya kita percaya industri nadir bumi ini satu punca kekayaan. Jadi REE ini bukan ada sama rata di setiap negeri, satu negeri mungkin lebih daripada negeri lain. Justeru dalam satu syarikat ini kita agih segala hasilnya secara saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sidang Kemuncak SG4 yang turut dihadiri Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dan Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan di Hotel Tenera hari ini.
Dalam pada itu, Takiyuddin memaklumkan syarikat tersebut sudah didaftarkan beberapa bulan lepas.
Menurutnya, terdapat lima kluster ekonomi digariskan dalam perancangan syarikat tersebut, melibatkan lima aspek ekonomi dengan nadir bumi juga termasuk dalam kluster berkenaan.
“Macam Tun Dr Mahathir sebutlah…Terengganu, Kelantan mempunyai elemen nadir bumi yang terbesar di Malaysia, begitu juga di Kedah. Di Perlis, tiada nadir bumi tapi ada dolomite yang digunakan untuk proses nadir bumi ini,” katanya.
