Lebih 100,000 banjiri Dataran Putrajaya

PUTRAJAYA 31 Ogos – Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya di sini hari ini bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bertemakan Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.

Sambutan tahun ini menyaksikan pembabitan seramai 13,009 peserta persembahan dan perarakan, 112 haiwan dalam perkhidmatan, 439 aset darat dan udara daripada pelbagai agensi di lokasi acara sambutan.

Acara hari ini bermula dengan ketibaan pembesar negara termasuk Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan isteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri,  Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Fadillah Yusof.

Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah dengan menaiki kenderaan rasmi sekitar pukul 8 pagi.

Ia disusuli lintasan hormat lima helikopter yang membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam melambangkan 14 negeri dalam Malaysia diikuti lagu

Negaraku, serentak dengan acara menaikkan Jalur Gemilang.

Koperal Mohd Khairul Azhar Abbi Paisa bersama 66 pelajar dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kemudiannya mengetuai bacaan ikrar Rukun Negara.

Koperal Mohd Khairul adalah wira yang berjaya menewaskan pencerobohan Balai Polis Ulu Tiram, Johor yang turut mengorbankan seorang anggota polis pada Mei lalu.

Hadirin kemudian dipersembahkan dengan acara perbarisan dan perarakan membabitkan kontinjen kenegaraan, urus tadbir negara, konvoi Kembara Merdeka, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Dalam perarakan kali ini, seramai 100 pegawai kadet dari Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional dipertanggungjawab membawa Jalur Gemilang gergasi bersaiz 80 x 40 kaki.

Antara keunikan dalam acara persembahan tahun ini adalah perbarisan Kontinjen Komuniti Malaysia MADANI diterajui Kementerian Perpaduan Negara yang juga kontinjen terpanjang berpakaian etnik lengkap dengan aksesori, melambangkan kepelbagaian budaya masyarakat di negara ini.

Turut menarik perhatian adalah perarakan aset keselamatan dan pertahanan negara, antaranya oleh pasukan bomba, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Dalam pada itu pertunjukan udara dipersembahkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), antaranya dibarisi lima pesawat pejuang Sukhoi SU 30 MKM, pesawat F-18D Hornet dan Hawk MK 208.

Acara penuh gilang gemilang itu turut menampilkan kelainan dalam pertunjukan, terutama persembahan tarian ‘Stompers Cuci Rasuah’ yang dipersembahkan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

Elemen persembahan itu dilihat sebagai simbolik kepada usaha kerajaan MADANI yang memperjuangkan membanteras rasuah serta memperkasakan tatakelola.

(Foto fb PMX)

Nnn

Related posts

Leave a Comment