KUALA LUMPUR 31 Ogos – Objek anomali (objek tidak wajar) yang dikesan satu meter bawah permukaan melalui Radar Menembusi Tanah (GPR) disahkan bukan wanita hilang yang terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India 23 Ogos lalu.
Ini berikutan kerja pengorekan dilakukan di lokasi utama kejadian tanah jerlus itu malam tadi, tidak berhasil menemukan mangsa yang hilang.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membuat korekan dengan kedalaman satu hingga dua meter yang berskala kecil di lurang kumbahan satu di lokasi utama kejadian.
Korekan dibuat setelah GPR mengesan kemungkinan terdapat objek anomali berada satu meter bawah tanah dalam kawasan ‘ground zero’ (lokasi utama kejadian).
Aktiviti korekan dijalankan sedalam 1.5 meter secara ‘manual shoring’ (sistem sokongan sementara secara manual) oleh pasukan SAR, namun penemuan negatif.
Semalam, DBKL memaklumkan operasi SAR akan diteruskan pada sebelah malam selepas fokus pencarian menggunakan alat GPR pada sebelah siang manakala Indah Water Konsortium (IWK) turut melakukan kaedah ‘jetting’ dan ‘rodding’ bagi membersihkan halangan dalam saluran paip kumbahan.
Hari ini, anggota meneruskan usaha mengesan mangsa pada pencarian yang memasuki hari kesembilan sejak kejadian itu berlaku 23 Ogos lalu.
Lebih 115 anggota dan pegawai terbabit dalam operasi itu membabitkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), DBKL, Angkatan Pertahanan Awam, IWK, Agensi Nuklear Malaysia serta Jabatan Mineral dan Geosains.
Nnn
