SAR mangsa tanah jerlus dihentikan

KUALA LUMPUR 31 Ogos – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, dihentikan petang ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Bercakap pada sidang media di sini, hari ini, beliau berkata, perkara itu diputuskan selepas mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi SAR, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

Keputusan yang diambil ialah untuk mendapat pandangan daripada sudut pakar, sebelum kita mengambil apa-apa keputusan.

“Oleh kerana itu, setelah kita mengumpulkan semua bentuk kepakaran yang ada termasuklah dari pihak PDRM, bomba, DBKL, Indah Water Konsotium (IWK), Jabatan Geologi, Agensi Nuklear Negara dan pelbagai lagi telah diambil pandangan.

“Kita telah membuat keputusan untuk kita memberhenti mencari dan menyelamat pada hari ini,” katanya.

Jelas Zaliha, operasi SAR dihentikan atas beberapa faktor termasuk isu keselamatan membabitkan anggota SAR, selain faktor keselamatan semasa di lokasi susulan beberapa kejadian tanah jerlus susulan yang berlaku akhir-akhir ini.

Katanya, keselamatan anggota ataupun pasukan (SAR) yang turun ke bawah untuk mencari mangsa, termasuk keselamatan kesihatan mereka juga diberi perhatian di samping arus deras boleh membahayakan mereka.

Begitu juga keselamatan kawasan yang terdapat kesan-kesan tanah jerlus kedua yang turut menimbulkan kerisauan dan kebimbangan.

Dalam pada itu, katanya SAR dihentikan atas keperluan untuk segera meneruskan aktiviti di kawasan ini terutamanya kepentingan peniaga tetapi tidak mengetepikan hal-hal keselamatan, termasuk keselamatan pengunjung.

Zaliha berkata selepas SAR dihentikan, tindakan lanjut di lokasi memasuki fasa pemulihan dengan tugas berkenaan diserahkan kepada PDRM untuk keputusan tindakan seterusnya.

Pada masa sama, DBKL akan turut mengambil beberapa tindakan termasuk melakukan pemetaan utiliti di lokasi itu, selain melaksanakan kajian struktur tanah seluruh Kuala Lumpur serta membuat libat urus bersama peniaga di kawasan ini dan sekitarnya.

“Kita juga minta kepada DBKL untuk melakukan pemulihan dan pembinaan semula (laluan) di kawasan yang terlibat yang sudah dikenal pasti yang jaraknya dari pintu gerbang (Jalan Melayu) sehingga ke Pasar Raya Mydin, lebih kurang 100 meter,” katanya.

Beliau turut berterima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam operasi SAR yang sudah bertungkus-lumus dalam usaha pencarian mangsa sejak hari pertama kejadian pada 23 Ogos lalu.

Terdahulu, malam tadi, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah jerlus telah membuat korekan di manhole 1.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, aktiviti korekan yang dijalankan secara manual shoring itu bagaimanapun gagal menemukan sebarang petunjuk baharu.

Korekan dengan kedalaman kira-kira dua meter pada skala kecil itu dibuat selepas alat Ground Penetrating Radar (GPR) mengesan kemungkinan terdapat objek (anomaly) berada satu meter di bawah tanah dalam kawasan ground zero.

Kerja-kerja korekan dihentikan pukul 10.30 malam tadi.

Related posts

Leave a Comment