Dr.Mashitah nafi terlibat sindiket

SEPANG 29 Ogos – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mashitah Ibrahim menafikan penglibatannya dalam aktiviti kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar seperti yang dilaporkan media semalam.

Dalam satu hantaran melalui Facebooknya, beliau mendakwa, maklumat berkenaan dikutip daripada media picisan ‘seberang’.

“Kebetulan kawan saya ajak bergambar sahaja pada projek dia di sana. Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mahkamah pada pihak yang cuba mengaitkan saya dengan fitnah ini bertujuan menjatuhkan reputasi saya.” katanya

Susulan itu, beliau sudah membuat laporan dan memberi keterangan di Bukit Aman berkaitan tuduhan liar beberapa pihak seperti Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO).

Beliau turut berterima kasih kepada rakan-rakan yang prihatin.

“Alhamdulillah saya kekal utuh berpegang kepada ajaran Islam dan tidak terbabit dengan mana-mana aktiviti yang bercanggah agama mahupun undang-undang negara,” katanya.

Semalam, MHO menyerahkan laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat pembabitan seorang ahli politik di negara ini bersama suaminya, membabitkan sebuah kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agung MHO,  Hishamuddin Hashim berkata, modus operandi sindiket itu adalah memperdaya mangsa secara dalam talian dengan menawarkan pekerjaan yang menarik sebelum memaksa mangsa bekerja sebagai `scammer’ penipuan judi secara dalam talian.

Katanya, baru-baru ini tular satu video di media sosial pembongkaran sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar bertajuk ‘Neraka Perbatasan: Jejak Mafia Judi Online dan Perbudakan Digital di Asia’ yang diterbitkan di Indonesia.

(Foto FB Dr Mashitah)

Nnnn

Related posts

Leave a Comment