Pandemik ke arah pemulihan

PUTRAJAYA 11 Okt. – Penularan wabak Covid-19 di Malaysia sedang menuju ke arah pemulihan apabila terdapat pelbagai petanda positif sejak beberapa minggu kebelakangan ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, indikator tersebut boleh dilihat menerusi aspek purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital.

Menurut kenyataannya, senario itu juga memberi bayangan bahawa negara bakal bersedia untuk memasuki fasa endemik.

Menurut beliau, secara keseluruhannya, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati trend menurun sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 bagi indikator utama seperti kes harian, kes aktif, kematian, kes ICU dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

“Terdapat sebanyak 63,722 kes Covid-19 yang telah dilaporkan berbanding 83,368 kes  pada ME ke-39 penurunan sebanyak 23.6 peratus. Penurunan ini juga berlaku secara konsisten sejak enam minggu kebelakangan (ME ke-34),” katanya.

Beliau berkata, kadar kes kematian juga menunjukkan penurunan berbanding minggu-minggu sebelum ini yang mencatatkan purata 100 kes sehari.

Perkara itu juga, memberi kesan kepada penggunaan fasiliti hospital yang turut mencatatkan penurunan.

Beliau pada masa sama mengingatkan orang ramai agar tidak terlalu selesa dengan keadaan ini selain perlu peka dengan situasi jangkitan Covid-19.

“Kita wajar mengambil pengajaran daripada peristiwa kenaikan kes Covid-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial. Semua pihak perlu memainkan peranan bagi memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Related posts

Leave a Comment