KOTA BHARU 29 Ogos – Belum tiba masa untuk mewartakan tempat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur sebagai zon tidak selamat, kata Ketua Polis Negara, Razarudin Husain.
Beliau berkata, untuk berbuat demikian, pihaknya perlu mengemuka permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengisytihar kawasan itu sebagai zon bencana.
“Walaupun kejadian ini bukan dianggap bencana, tindakan polis termasuk bomba dan agensi berkaitan serta Indah Water Konsortium (IWK) seolah-olah seperti bencana.
“Susulan lokasi kedua mendapan dikesan, saya sudah mengarahkan laluan sepanjang 1.4 kilometer di Jalan Masjid India ke Jalan Raja Laut ditutup, membabitkan laluan yang mempunyai lima pembetung.
Arahan sudah dikeluarkan kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan Ketua Polis Negeri,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas di antara Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun dengan Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, penutupan hanya membabitkan laluan berkenaan dan tidak membabitkan kawasan lain.
“Perniagaan juga tidak ditutup. Urus niaga masih berlangsung seperti biasa. Laluan ke pembetung itu sekitar 50 hingga 70 meter sahaja,” katanya.
Terdahulu media melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesan halangan objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua, iaitu terletak kira-kira 80 meter.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ahmad Izram Osman, berkata dapatan itu diperoleh menerusi pengesanan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa turun ke tempat kejadian petang semalam, selain pengesanan kamera.
(Foto PDRM : Muhammad Zaki Harun (kiri)
Nnn
