Laporan polis dibuat Istana Pahang

KUALA LUMPUR 29 Ogos –  Laporan polis terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dibuat oleh Istana Pahang, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Anda langgar peraturan, anda terlanjur, anda yang perlu hadapinya. Jangan gunakan ini sebagai (alat) politik. Laporan dibuat. Polis ambil laporan daripada Istana Pahang.

Sebelumnya, dalam kes lain oleh Istana Selangor dan diambil tindakan oleh Peguam Negara,” katanya kepada media selepas perasmian dan pecah tanah Residensi Suria Madani, di Taman Desa, di sini, hari ini.

Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu semalam menyuarakan menyifatkan pendakwaan terhadap presiden Bersatu  sebagai bermotif politik, terpilih dan berniat jahat terhadap gabungan PN dan kepemimpinannya.

Semalam jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata, beberapa kes membabitkan ahli politik yang dihadapkan ke mahkamah berkaitan isu hasutan, bukan dibuat berdasarkan laporan wakil kerajaan, sebaliknya daripada wakil istana.

Beliau berkata,  masih terdapat tohmahan dan dakwaan mengaitkan kerajaan dalam isu berkenaan khususnya membabitkan kes Muhyiddin.

“Dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kami diingatkan bahawa sejumlah kes yang dibawa ke mahkamah berkaitan isu hasutan khusus berkait Ahli Parlimen Pagoh, bukan berdasarkan laporan dari pihak kerajaan, tapi hasil laporan polis dibuat wakil Istana Pahang.

“Kerajaan tidak masuk campur dalam hal ini, siasatan dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pendakwaan dibuat berdasarkan siasatan terbabit,” katanya.

Selasa lalu, Muhyiddin sebelum ini mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan menghasut mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, berhubung ucapannya beberapa minggu sebelum itu di FELDA Perasu, Kelantan, pada 14 Ogos lalu menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Dalam ucapan berkenaan, Muhyiddin mendakwa Yang di-Pertuan Agong sebelum ini tidak memanggilnya untuk membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum lalu walaupun mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 30 laporan berhubung ucapan Muhyiddin yang didakwa menyentuh isu agama, raja dan kaum (3R).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan ke atas Pengerusi PN itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

Ketika memberi keterangan, Muhyiddin menyerahkan beberapa dokumen kepada polis antaranya surat daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat bertarikh 20 November 2022, yang mengandungi titah perintah Yang di-Pertuan Agong ke-16 meminta ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

Nnn

Related posts

Leave a Comment