Calon Presiden Venezuela dipanggil

CARACAS: Edmundo Gonzalez Urrutia, calon Presiden Venezuela yang lalu, akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung penyiaran maklumat pengiraan undi pilihan raya seperti yang disiarkan di laman web pembangkang pada Julai lalu.

Menurut Peguam Negara Tarek Saab, Kementerian Awam akan memanggil Gonzales untuk memberi keterangan mengenai tanggungjawabnya, di mana beliau mengakui bertanggungjawab terhadap laman web berkenaan.

Maklumat yang disiarkan itu sepatutnya hanya boleh dikeluarkan pihak berkuasa pilihan raya.

Langkah ini juga adalah siri tindakan terbaharu parti pemerintah yang didakwa pembangkang dan kumpulan hak asasi manusia sebagai tindakan keras terhadap pembangkang selepas pilihan raya presiden yang keputusannya dipertikaikan.

Sebelum ini pihak berkuasa pilihan raya nasional Venezuela dan Mahkamah Tertinggi mengisytiharkan Presiden Nicolas Maduro sebagai pemenang pilihan raya pada 28 Julai lalu dengan memenangi lebih separuh undi, tetapi pengiraan undi yang dipaparkan oleh pembangkang menunjukkan kemenangan untuk Gonzalez.

Pembangkang, beberapa negara Barat, dan badan antarabangsa seperti panel pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan menyatakan bahawa undian itu tidak telus dan menuntut pengiraan semula undi.

“Ada yang membuat tuduhan penipuan. Kemudian pada Jumaat (semalam), Gonzalez menyeru rakyat Venezuela untuk bergabung dalam mempertahankan kebebasan dan kedaulatan rakyat Ini bukan perkara kecil yang dipertaruhkan,” katanya dalam satu hantaran di X.

Pegawai parti pemerintah termasuk Maduro menuduh pembangkang memprovokasi keganasan dan Saab bulan ini melancarkan siasatan jenayah terhadap pemimpin pembangkang, Maria Corina Machado, Gonzalez dan laman web itu.

Related posts

Leave a Comment