Masih ramai Melayu enggan keluar mengundi

SEREMBAN 7 Ogos – Masih ramai kaum Melayu yang tidak ingin keluar mengundi dalam pilihan raya, kata Presiden Pas,  Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu juga mendakwa orang Melayu masih lagi tidak menyedari bahawa mengundi adalah suatu kuasa politik.

“(Peratusan) kaum lain keluar mengundi 90 peratus (tapi) orang Melayu (yang) keluar mengundi 70 peratus. Masih ramai yang tak mahu mengundi.

“Kalau kita tak mengundi, bermakna kita menghilangkan kuasa politik. Mana-mana parti yang menang pilihan raya, dia dapat kuasa politik.

Maka orang Melayu Islam termasuk bukan Islam yang tidak ekstrem perlu menyokong Perikatan Nasional (PN) untuk membuat perubahan yang baik,” katanya semasa berucap pada Majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan malam tadi.

Abdul Hadi juga mendakwa kemenangan PN dalam enam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini akan membolehkan berlakunya perubahan dalam kerajaan Persekutuan.

“Kalau menang (enam negeri) ini, akan berlaku perubahan kerajaan Pusat, itu maknanya. Maka kewajipan mengundi sangat besar,” katanya.

Abdul Hadi sebelum ini mengingatkan semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos nanti kerana hukum mengundi adalah wajib yang tidak boleh ditangguh.

Mengambil contoh kisah Nabi, Abdul Hadi berkata Nabi sendiri sanggup menangguhkan ibadah umrah hanya kerana mahu merasmikan perjanjian Hudaibiah untuk mendapatkan kuasa politik dan selepas itulah baru menunaikan umrah.

“Hukum wajib ini ada dua perkara iaitu wajib yang boleh ditangguh dan tidak boleh ditangguh.

“Sebagai contoh isteri yang kematian suami perlu menjalani edah dan pada masa sama dia mempunyai wang untuk menunaikan haji. Jadi jalani edah dulu baru pergi haji. Ini dinamakan wajib yang boleh ditangguh,” katanya.

Related posts

Leave a Comment