SINGAPURA 23 Ogos – Mulai hari ini, Singapura dijadual melaksanakan saringan suhu dan visual di Lapangan Terbang Changi serta Lapangan Terbang Seletar terhadap pelawat dan kru penerbangan dari tempat yang berkemungkinan terdedah kepada risiko wabak cacar monyet atau mpox.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, langkah saringan serupa juga akan dilaksanakan di pusat pemeriksaan laut terhadap anak kapal dan penumpang yang tiba dengan kapal dari kawasan terjejas dengan penyakit itu.
MOH, Kementerian Pengangkutan serta Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan akan melaksanakan langkah berjaga-jaga untuk meningkatkan keupayaan pengawasan kami terhadap mpox di sempadan.
Ketika ini, tiada penerbangan terus antara Singapura dengan mana-mana negara yang berlaku penularan wabak mpox.
MOH berkata, nasihat kesihatan telah dilaksanakan di pusat pemeriksaan udara supaya pelancong mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada dijangkiti penyakit itu.
Pelancong sangat digalakkan untuk mematuhi maklumat itu, terutama jika mereka melancong ke dan dari negara yang terjejas. Pelancong yang mengalami demam, ruam dan/atau gejala yang serasi dengan mpox, akan dirujuk untuk penilaian perubatan.
Di samping itu, langkah berjaga-jaga untuk mengesan dan menguruskan kes mpox, kekal tidak berubah.
Tahun ini hingga semalam, terdapat 13 kes mpox disahkan di Singapura yang mana semuanya adalah jangkitan varian clade II yang kurang teruk. Setakat ini, tiada kes mpox varian clade I dikesan di republik ini.
Penularan wabak hanya berlaku di Afrika, manakala dua kes mpox varian clade I yang lebih teruk dilaporkan di Sweden dan Thailand.
Pada 14 Ogos lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global yang menjadi kebimbangan antarabangsa.
Nnnn
