UCAPAN Dasar Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi melontarkan pelbagai persoalan mengenai hala tuju parti itu dalam mendepani laman baharu dinamika dan realiti semasa politik tanah air menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Berbaki lebih kurang tidak sampai tiga tahun lagi, parti-parti politik terutama yang membentuk Kerajaan Perpaduan sudah tentu mempunyai percaturan sendiri – sama ada sekadar’tepuk dada tanya selera’ atau sekadar ‘ukur baju di badan sendiri’.
Dalam hal ini, kepada lebih 2,000 perwakilan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 di Dewan Merdeka, Timbalan Perdana Menteri melontarkan persoalan sama ada pendekatan bergerak solo (Go Solo) sebelum ini sebagai langkah terbaik dalam keadaan politik semasa.
Menurut Ahmad Zahid berdasarkan data dan sentimen sekarang, apakah kelebihan yang ada pada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO? Dengan pertambahan pengundi baharu pula, dapatkah UMNO menguasai persepsi mereka?
Perwakilan UMNO dan pimpinan UMNO di segenap peringkat sudah tentu mempunyai jawapan selepas dua kali kecundang pada PRU14 dan PRU15, tetapi masih bernasib baik, hanya 22 bulan sebagai pembangkang.
Pada masa yang sama Ahmad Zahid berkata, UMNO juga berharap untuk kembali menjadi parti dominan dan bebas memilih mana-mana parti menjadi rakan kongsi politik yang dapat menerima agenda pemerkasaan Islam dan Melayu.
Dominan yang dimaksudkan menguasai dan mempunyai kelebihan di tengah-tengah landskap politik negara, dominan dari segi bilangan kerusi, menuntut kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kalah untuk merampasnya semula.
UMNO juga mesti dominan dalam kedudukan perundingan jika keadaan memerlukan perkongsian, selain dalam ideologi perjuangan mempertahankan keindukan Islam dan Melayu/Bumiputera serta menawarkan dasar awam yang menjamin kesejahteraan hidup rakyat dan kemakmuran negara.
Bagi UMNO kehilangan kuasa adalah sesuatu yang memeritkan selepas 60 tahun di tampuk kuasa. Maklumlah apabila tidak lagi menjadi kerajaan. Sambutan ulang tahun UMNO pun sendu. Begitu juga suasana ketika PAU.
Kapal UMNO bocor dan ramai beranggapan akan karam tetapi ‘diselamatkan’ dengan Langkah Sheraton. Berbekalkan 26 kerusi milik UMNO ditambah dua MCA, masing-masing satu MIC dan PBRS, kapal UMNO terus belayar melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Seperti kata Ahmad Zahid, jika dilihat kedudukan sekarang, semua parti memiliki antara 30 hingga 40 kerusi di Parlimen. Tanpa perkongsian kuasa antara parti, maka tidak ada parti yang mampu membentuk kerajaan.
Justeru apakah corak politik yang akan berlaku menjelang PRU16 mampu mengembalikan kuasa politik kepada BN/UMNO atau sebaliknya? Hakikatnya, BN perlu mengatasi masalah ‘keciputan’ bilangan kerusi Parlimen.
Dalam hal ini Ahmad Zahid dalam ucapan dasarnya mengingatkan “Ahli UMNO sahaja tidak mampu memenangkan kita. Yang menjadi penentu adalah pengundi di luar sana. Yang jauh lebih besar peratusannya. Yang jauh lebih ramai jumlahnya,”.
Benar jumlah ahli yang ramai bukan penentu utama kemenangan. Yang sedikit pun mampu mencatatkan kemenangan. Lihat sahaja sebelum ini keanggotaan parti seperti PKR, Pas, DAP, Amanah dan sebagainya.
Untuk rekod, setakat 31 Julai 2024, jumlah keanggotaan UMNO sudah mencecah 3,477,445 orang.
Pada masa yang sama, jumlah kerusi yang menjadi pertaruhan BN selama ini berkurangan apabila komponen parti yang mewakil Sabah (kecuali PBRS) dan Sarawak meninggalkan BN. Yang tinggal kini hanya UMNO, MCA, MIC dan PBRS.
Begitu juga Pakatan Harapan (PH) mempunyai empat parti komponen terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan UPKO manakala Perikatan Nasional (PN) terdiri daripada Bersatu, Pas, Gerakan dan MIPP.
Berdasarkan kekuatan kerusi yang ada hari ini, pastinya kedudukan sekarang tidak memungkinkan UMNO untuk kembali mengetuai kerajaan seperti dinikmati selama 60 tahun sebelum ini. Sabah dan Sarawak akan membuat pilihan sendiri.
Mahu atau tidak, UMNO atau BN perlu meningkatkan penguasaan kerusi dengan memenangi semula kerusi yang dimenangi Pas atau Bersatu. Itu pun jika bergerak solo, jika sebaliknya akan berkongsi pula dengan komponen PH.
Justeru, sebagai persediaan awal, Ahmad Zahid sudah menggariskan tiga rukun politik bagi mendepani laman baharu dinamika dan realiti semasa politik tanah air.
Pertama: Menetapkan sasaran penguasaan kerusi Parlimen bagi memastikan UMNO menjadi parti yang membentuk kerajaan.
Kedua : Membuka pilihan untuk bekerjasama dengan jajaran politik yang menerima keindukan Islam dan Melayu sebagai teras
Ketiga: Memastikan politik sederhana dengan mengambil jalan tengah sebagai model kesepakatan yang berupaya memelihara kestabilan negara.
Tentunya, sekutu dalam Kerajaan Perpaduan iaitu PH juga mempunyai cita-cita yang sama – menetapkan sasaran yang boleh menjadikan gabungan mereka lebih dominan bagi membentuk kerajaan selepas PRU16.
Kata Ahmad Zahid, UMNO mesti keluar dari “echo chamber” dan zon selesa, mesti berani berdepan dengan idea-idea baharu dan perspektif yang beragam agar UMNO tetap relevan dalam landskap politik yang semakin kompleks.
“Jangan kita ingat, kita dominan seperti dahulu lagi. Jangan terbuai dengan fitnah dan tohmah pihak lawan sehingga kita menanam kesangsian sesama sendiri. Jangan leka dengan sedikit kuasa yang ada sehingga kita lupa akan tugas memperkuatkan parti,” katanya.
Dalam politik, sebarang kemungkinan boleh berlaku. Politik negara sudah menyaksikan kawan menjadi musuh dan musuh menjadi kawan.
Adakah kerjasama atau persefahaman itu perlu datang sebelum memasuki gelanggang pilihan raya atau selepas pilihan raya? Kesemua ini memerlukan percaturan semasak- masaknya.
Kata Ahmad Zahid : “Sebagai parti yang membentuk sebuah negara bangsa, apa pun pencak politik atau langkah yang hendak diambil, kepentingan negara dan rakyat adalah pra syarat yang tidak akan kita korbankan,”
Tepuk dada tanya selera. Pastinya setiap parti tidak mahu .. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Nnn