Dua lagi kes import di Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN 23Julai – Dua lagi kes import Covid-19 direkodkan semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes di Brunei Darussalam meningkat kepada 311 orang.

Menurut Kementerian Kesihatan, kes 310 ialah seorang lelaki warganegara Thailand berumur 59 tahun yang mengalami demam panas dan sakit tekak pada 18 Julai 2021 selama dua hari.

Manakala Kes 311, juga lelaki warganegara Thailand berumur 22 tahun dan anak kepada Kes 310. Beliau juga mengalami demam panas dan sakit tekak pada 18 Julai 2021 selama dua hari, dan pada masa ini beliau mengalami batuk sekali sekala.

Pengesanan kontak mendapati lima kontak terdekat bagi kedua-dua kes ini.

Kesemua kes ini dikesan semasa mereka sedang berada dalam kuarantin dan keseluruhan pengendalian perjalanan semasa ketibaan serta pengasingan diri mereka dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada.

Dalam pada itu, setakat ini, sebanyak 170 kes import dicatatkan, iaitu sejak kes terakhir jangkitan tempatan berkenaan dilaporkan pada 6 Mei 2020.

Menurut Kementerian Kesihatan lagi, 39 kes aktif menjalani rawatan di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan kesemua kes yang sedang dirawat di pusat pengasingan tersebut adalah dalam keadaan yang baik. 

Dalam siaran akhbar ini juga,, empat kes aktif disahkan sembuh menjadikan jumlah keseluruhan kes yang sembuh setakat ini seramai 269 orang.

Kementerian Kesihatan turut memaklumkan seramai 792 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori, sementara seramai 22,221 orang menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Related posts

Leave a Comment