KUALA LUMPUR 22 Ogos – Pemuda dan Wanita UMNO meminta pimpinan parti menampilkan wakil sayap parti itu sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang dijadualkan bulan depan.
Malahan Pemuda akan mengemukakan usul tambahan pada Perhimpunan Agung UMNO esok dengan mengesyorkan pimpinan parti mempertimbangkan calonnya, Ketua Pemuda Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh, berkata permintaan khusus itu dizahirkan Pemuda sebagai bukti kesungguhan UMNO untuk berubah.
“Usul sudah ada, kita minta usul ini dibawa ke (mesyuarat) MKT (Majlis Kerja Tertinggi) malam ini dan esok (jurucakap Pemuda) Solihin (Mohamad Tajie) usul ini akan dibawa ke PAU (Perhimpunan Agung UMNO),” katanya berucap pada penggulungan perhimpunan agung sayap itu di sini.
Dr Muhamad Akmal berkata, jika calon Pemuda tidak ditampilkan, sayap itu akan tetap turun berkempen bagi memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN).
Terdahulu, Wanita UMNO juga membuat tuntutan yang sama supaya calon mewakili BN pada PRK itu kekal daripada pergerakan itu.
Ketuanya, Dr Noraini Ahmad, berkata kerusi itu penting bagi Wanita meneruskan legasi penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga Exco Wanita, yang menang dengan majoriti lebih 5,000 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
Noraini berkata, keupayaan Wanita terbukti apabila menang di ketiga-tiga DUN yang diwakili calon pergerakan itu pada PRN berkenaan, termasuk di DUN Pulai Sebatang dan Tenang.
“Kita memang mahukan kemenangan di DUN Mahkota, jadi kita menuntut supaya kerusi Mahkota diberikan kepada calon Wanita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, UMNO mengesahkan wanita turut berada dalam senarai dipertimbang sebagai calon PRK DUN Mahkota, yang dijadualkan bulan depan.
Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata bakal calon belum dimuktamadkan, namun senarai berkenaan terdiri daripada cadangan daripada bahagian dan negeri dengan calon wanita turut disenaraikan.
“Kita telah menerima senarai daripada bahagian dan juga perhubungan negeri.
“Semua senarai calon akan dipertimbangkan dan kita masih berpegang kepada konsep WALI iaitu menang (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) sebagai kriteria utama pemilihan calon di PRK DUN Mahkota,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Laman Media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu.
Nnnn
