176,426 usahawan gulung tikar

KUALA LUMPUR 14 Mac : : Seramai 176,426 usahawan gulung tikar selepas terkesan dengan pandemik Covid-19 sepanjang 2020 hingga tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata kesan jangka panjang Covid-19 dan kenaikan harga barang dilihat menjadi sebab utama usahawan menutup terus operasi perniagaan mereka.

Bagaimanapun, beliau berkata kebanyakan usahawan terbabit menyatakan kesediaan untuk memulakan semula perniagaan dengan bantuan utama diperlukan mereka adalah dari segi geran, pembiayaan, latihan dan bimbingan keusahawanan.

Kata, melalui empat kaji selidik yang dilaksanakan, kementerian melalui kaji selidik pada April 2020, mendapati 104,785 usahawan gulung tikar diikuti, Jun 2021 (37,415), Februari 2022 (17,371) dan November 2022 (33,838).

Dalam jawapan lisan di laman sesawang Parlimen, Ewon berkata, kementerian komited membina kelangsungan momentum pemulihan sektor keusahawanan melalui intervensi bersasar di bawah Pelan Strategik Kementerian 2023 yang mengandungi 185 program dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 543,080 usahawan dan bakal usahawan.

Kementerian juga akan meningkatkan program libat urus secara bersemuka untuk lebih responsif terhadap keluhan usahawan di lapangan dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan efektif.

“Selain itu, usahawan turut disaran melayari platform sehenti dalam talian, MyAssist MSME, bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam talian daripada kaunselor perniagaan, perkhidmatan padanan perniagaan, peluang memasarkan produk dan perkhidmatan serta maklumat mengenai bantuan yang ditawarkan pelbagai agensi pembangunan keusahawanan,” katanya.

Beliau berkata, bagi membantu usahawan berdepan masalah pengurusan kewangan serius dan berisiko muflis, kementerian bekerjasama dengan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) untuk Program Intervensi Peluang Kedua.

Tahun lalu, seramai 664 usahawan diberi kesedaran mengenai ketersediaan peluang kedua menerusi pelbagai inisiatif yang disediakan dan daripada jumlah itu, seramai 40 usahawan dipilih mengikuti Program Bimbingan Khas INSKEN selama empat bulan yang bermula pada 17 Oktober 2022,.

Related posts

Leave a Comment