KUANTAN 22 Ogos – Puteri Sultan Pahang, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat diijabkabul dengan pasangan, FD Idzham FD Iskandar malam tadi.
Istiadat Perkahwinan Diraja yang bermula pada pukul 8.30 malam berlangsung di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.
Berangkat ke istiadat itu, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta paduka-paduka anakanda.
Paduka Baginda berkenan memberi keizinan kepada Mufti Pahang, Datuk Professor Dr. Asmadi Mohamed Naim untuk menjalankan upacara akad nikah yang turut dihadiri jemputan khas dan kerabat bergelar, ahli keluarga serta teman rapat.
Selesai akad nikah, FD Izham keluar menunaikan solat sunat sebelum istiadat diteruskan dengan keberangkatan masuk Tengku Puteri Afzan diikuti FD Izham ke dalam Balai Mahkota bagi upacara penyerahan mas kahwin berupa senaskah Al-Quran dan menyarung cincin oleh kedua-dua pengantin.
Istiadat berakhir dengan bacaan doa serta istiadat merenjis yang dimulakan oleh Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah.
(Foto Kesultanan Pahang)
Nnnnn
