Subvarian Omicron Covid-19 dikesan di Sarawak

KUCHING 21 Dis. –  Subvarian Omicron Covid-19, HK.3 dan JN.1 kini dikesan di beberapa bahagian di Sarawak selepas meneliti 61 sampel, yang diperoleh dari November hingga Disember, tahun ini.

Susulan itu, Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Profesor Dr David Perera, menasihatkan, orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga terutama pada musim perayaan akan datang.

“Sila ambil semua langkah berjaga-jaga yang perlu untuk mengelak jangkitan dan mencegah penularan, terutamanya memandangkan musim perayaan akan datang.

“Ini penting untuk melindungi semua dan khususnya, individu yang berisiko,” katanya.

Beliau berkata, subvarian Omicron dominan yang dikesan ialah HK.3 iaitu 26 peratus dan JN.1 sebanyak 49 peratus. Sampel itu dikenal pasti terutamanya di kawasan Kuching dan Samarahan serta beberapa kes dari Sibu.

Dr David mendedahkan perkara itu di dalam laporan pengawasan kes positif Covid-19 terbaru kepada Timbalan Premier yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, Douglas Uggah Embas, hari ini.

Bagaimanapun, katanya kehadiran HK.1 dan JN.1 di kawasan lain di negeri ini masih tidak menentu kerana data yang terhad.

“Subvarian JN.1, yang pada mulanya direkodkan di Amerika Syarikat (AS) pada September tahun ini merebak dengan pantas dan kini menjadi satu pertiga daripada semua kes positif di negara itu.

“JN.1 meningkatkan kebolehjangkitan dan menurunkan imunisasi dengan pelbagai mutasi baharu, telah membawa kepada lonjakan kes COVID-19 di seluruh dunia,” katanya.

Sementara itu Uggah mengumumkan, Sarawak memperuntukkan RM4.85 juta untuk membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) dalam membuat persediaan dan menghadapi trend peningkatan kes Covid-19 di Sarawak.

Katanya, Sarawak merekodkan sebanyak 631 kes positif baharu Covid-19 bagi Minggu Epidemiologi ke-50 (ME50) bertarikh 10 hingga 16 Disember lepas.

“Jumlah kes baharu yang dicatatkan pada ME50 menunjukkan peningkatan berbanding 310 kes pada ME49. Pada ME50, terdapat 45 pesakit dirawat hospital dengan kategori tiga, empat dan lima berbanding minggu sebelumnya 25 kes.

“Namun, tiada kematian baharu dicatatkan di mana jumlah yang maut akibat wabak berkenaan di sini kekal 9 orang pada tahun ini,” katanya.

Daripada peruntukkan RM4.85 juta beliau memberitahu, sejumlah RM2 juta disalurkan untuk pembinaan hospital lapangan di Kuching manakala RM2.1 juta untuk pembelian ubat antiviral Paxlovid.

Katanya, sebanyak RM300,000 pula untuk pembelian stok kit ujian RTK profesional dan air liur bagi mendapatkan keputusan yang pantas manakala RM450,000 untuk memasang kanopi di kawasan hospital sebagai persiapan peningkatan pesakit yang datang ke hospital.

Uggah turut menasihati supaya orang awam untuk menggunakan topeng muka di kawasan awam dan dapatkan rawatan jika mempunyai simptom.

Nnnn

(Foto Jabatan Penerangan Sarawak)

Related posts

Leave a Comment