Hentikan jualan produk Kopi Pejuang

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Semua peniaga termasuk atas talian diarah menghentikan serta-merta penjualan produk Kopi Pejuang yang dikesan mengandungi tadalafil, sejenis ubat untuk merawat kegagalan fungsi erektil atau mati pucuk.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kopi tersebut dikesan mengandungi tadalafil hasil tindakan penguatkuasaan terkini Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKMM) KKM.

Menurut KKM, penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat merbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Peniaga yang masih mempunyai stok kopi itu diminta menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat untuk tujuan penyitaan manakala semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial hendaklah menghentikan penyiaran iklan makanan berkenaan.

Mengikut Seksyen 13, Akta Makanan 1983, menyatakan mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda yang tidak melebihi RM 100,000 atau penjara selama tempoh tidak 10 tahun atau kedua-duanya.

Di samping itu, label produk tersebut didapati tidak mematuhi kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu tiada nama dan alamat pengilang / pembungkus / pengedar / empunya hak untuk mengilang / pengimport.

Sehubungan itu, produk tersebut tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh  dijual seperti dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” katanya.

KKM menerusi PKKM juga menegaskan bahawa produk makanan yang disyaki diaduk dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, sibutramine, dexamethasone dan prednisolone sentiasa dipantau dari semasa ke semasa.

Sejak 2021 sehingga Julai lalu, sebanyak 500 sampel kopi pelbagai jenama telah dianalisa bagi parameter racun berjadual di mana tujuh sampel (1.4 peratus) didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan mengikut Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas syarikat dan produk terbabit.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melayari laman sesawang Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) serta Facebook PKKM.

Untuk rekod pada 2022, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura pernah memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak membeli atau minum kopi tiga dalam satu ‘Prime Kopi Pejuang 3 in 1’ yang mendakwa boleh mempertingkatkan kesihatan seksual lelaki.

Menurut HSA, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kopi itu menunjukkan ia mengandungi kandungan tinggi tadalafil iaitu ubat rawat mati pucuk yang perlu dimakan mengikut arahan doktor.

Nnn

Related posts

Leave a Comment