88 kes mpox di Indonesia sejak 2022

JAKARTA 19 Ogos – Kementerian Kesihatan Indonesia merekodkan sekurang-kurangnya 88 kes mpox, yang dahulunya dikenali sebagai cacar monyet, sejak 2022 hingga tahun ini, dengan wilayah Jakarta menjadi yang paling teruk terjejas.

Menurut Pemangku Ketua Pengarah Pencegahan dan Kawalan Penyakit Dr Yudhi Pramono, sebanyak 59 kes dilaporkan di Jakarta, 13 di Jawa Barat, sembilan di Banten, masing-masing tiga di Jawa Timur dan Yogyakarta dan satu di Kepulauan Riau.

Daripada jumlah itu, 87 kes telah pulih. Kemuncak kes mpox yang disahkan berlaku pada Oktober 2023, seperti yang ditunjukkan dalam trend mingguan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, varian Clade IIb, yang mempunyai kadar kematian yang lebih rendah dan kebanyakannya tersebar melalui hubungan seksual, terbabit dalam 54 daripada kes itu.

Sementara itu di MANILA, Filipina mengesan satu kes baharu mpox di negara itu,  penularan pertama sejak Disember tahun lalu menjadikan jumlah kumulatif penularan mpox disahkan secara klinikal meningkat kepada 10 kes.

Kes pertama dikesan Jabatan Kesihatan di negara itu, adalah pada Julai 2022.

Jurucakap Jabatan Kesihatan, Albert Domingo, berkata kes melibatkan lelaki warga tempatan berusia 33 tahun dan tidak memiliki sejarah perjalanan ke luar Filipina.

Pesakit mengalami gejala demam sejak lebih seminggu lalu, diikuti ruam pada wajah, tengkuk, badan, lipatan paha, tapak tangan dan kaki, empat hari kemudian.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersiap sedia melalui pengukuhan aktiviti pemantauan dan advokasi berkaitan mpox termasuk meningkatkan pemantauan di semua pintu masuk antarabangsa.

Ini susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa mpox sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (Public Health Emnergency of International Concern – PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lalu.

KKM dalam kenyataan semalam memaklumkan sebelum ini mpox diisytiharkan sebagai PHEIC buat kali pertama pada 23 Julai 2022 dan berakhir pada 11 Mei 2023.

Semua pengembara yang tiba dari negara yang melaporkan mpox perlu memantau status kesihatan kendiri setiap hari termasuk gejala jangkitan mpox bagi tempoh selama 21 hari dari tarikh ketibaan di Malaysia.

KKM turut menasihatkan individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko dan mempunyai gejala seperti ruam atau lepuh pada kulit perlu segera menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran serta mengelakkan kontak dengan individu lain bagi mengekang penularan jangkitan.

Semua pengamal perubatan di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta juga perlu memberikan notifikasi kes disyaki dan kes yang disahkan mpox dengan segera ke Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment