SUBANG JAYA 19 Ogos – Perdana Menteri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Pengarah Media dan Komunikasi Strategik Pejabat Perdana Menteri (PMO) Rozaid Abdul Rahman yang meninggal dunia semalam.
Ketika ditemui ketika menziarahi jenazah di Masjid Putra Heights di sini pagi ini, beliau berkata secara peribadi pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan yang cukup besar kerana beliau sudah menganggap arwah sebagai sahabat dan ahli keluarga memandangkan mereka telah berkenalan sejak sekian lama.
“Kita kehilangan sahabat dan keluarga kerana Rozaid adalah kenalan lama sejak dia di media. Kemudian bapanya teman rapat di Permatang Pauh dan pernah jadi Ahli Dewan Undangan Negeri.
“Di pejabat Perdana Menteri, beliau merupakan tonggak dari segi strategi menyantuni media dan berikan pendekatan yang baik. Saya dari segi peribadi dan keluarga mendoakan kepada Allah supaya roh Rozaid dicucuri rahmat dan mohon isterinya dan keluarganya sabar, dan saya secara peribadi kehilangan sahabat dan rakan seperjuangan,” katanya.
Terdahulu Anwar bersama isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa hampir sejam bagi menziarahi keluarga Allahyarham.
Antara yang turut hadir di masjid itu ialah bekas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar.
Sementara itu, solat jenazah diimamkan oleh Imam Masjid Putra Heights, Muhammad Ilyas Zulkipli.
Jenazah kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Presint 20, Putrajaya untuk dikebumikan.
Turut berada di tanah perkuburan itu antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Bernama Wong Chun Wai dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj.
Rozaid, 59, yang dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei 2023, meninggal dunia di rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini akibat masalah jantung.
