KUALA LUMPUR 18 Ogos – Pasukan Pilihan Selangor sekali lagi mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Selangor yang juga kali ketiga berturut-turut selepas memenanginya pada 2018 dan 2019 .
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Merdeka, malam tadi Pilihan Selangor menewaskan Pilihan Singapura 2-1.
Aksi di gelanggang penuh bersejarah itu turut menyaksikan Faisal Halim diletakkan dalam kesebelasan utama Selangor dan memakai lilitan kapten buat kali pertama musim ini.
Ketua jurulatih Pilihan Selangor, Nidzam Jamil turut menyenaraikan penyerang baharu Gergasi Merah dari Jordan, Ali Olwan dalam kesebelasan utama.
Faisal bagaimanapun terlepas peluang untuk merakam detik lebih manis apabila beberapa percubaannya diselamatkan penjaga Singapura, Syazwan Buhari selain terkena palang pada masa kecederaan babak pertama.
Pada babak kedua, Pilihan Selangor dilihat menguasai permainan dan mendapat beberapa peluang untuk menghasilkan jaringan terutama menerusi rembatan Alvin Fortes yang berjaya ditepis Syazwan.
Pemain gantian, Ronnie Fernandez memecah kebuntuan apabila meledak gol pertama Selangor pada minit ke-82, namun kedudukan itu tidak bertahan lama apabila Faris Ramli menyamakan kedudukan, lima minit kemudian.
Fortes muncul wira Pilihan Selangor apabila meledak gol kemenangan pada masa kecederaan menerusi tindakan susulan selepas sepakan penaltinya diselamatkan Syazwan.
Untuk rekod, ini kejuaraan ke-10 bagi skuad Pilihan Selangor dalam Piala Sultan Selangor selepas menjulang trofi itu sembilan kali sebelum ini iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019.
Pasukan Pilihan Singapura pula menjuarai sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.
Kedua-dua pasukan bergelar juara bersama, pada 2004 manakala pada 2015 (edisi ke-14) terpaksa dibatalkan kerana jerebu.
Nnnn
