PUTRAJAYA 12 Ogos – Ada berita baik menanti kira-kira 1.6 juta penjawat awam pada perhimpunan Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 Jumaat ini.
Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Shamsul Azri Abu Bakar berhubung penganjuran perhimpunan berkenaan.
Walaupun tidak mendedahkan intipati majlis amanat itu, ia dipercayai berkaitan pelarasan gajipenjawat awam yang akan diumumkan serentak dengan pelancaran Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
“Tak boleh bocor rahsia, insya-Allah (ada) berita baik untuk penjawat awam,” katanya ketika ditemui selepas mengimbas kad perakam waktu pada hari pertama memulakan tugas sebagai KSN di Bangunan Perdana Putra di sini, hari ini.
Beliau menggantikan Mohd Zuki Ali yang bersara wajib 10 Ogos lalu.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
MAPPA ke-19 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Sementara itu, dalam hantaran di Facebooknya, Shamsul Azri berkata, beliau memulakan tugas sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-16 secara rasmi hari ini dengan bacaan surah Yasin dan doa selamat di pejabat.
“Saya memulakan perjalanan bervisi ini dengan meletakkan prinsip TAAT SETIA.
Dalam konteks ini, kita perlu sematkan prinsip taat dan setia kita kepada Raja, Negara dan the government of the day.
Justeru itu, prinsip dan falsafah ini perlu terus diperkukuhkan agar ia terus sebati dalam diri kita sebagai penjawat awam sepertimana Aku Janji kita di awal perkhidmatan kita dahulu,” katanya.
Justeru beliau memohon kerjasama rakan-rakan KSU/KP, YB SUK, Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri, Ketua Eksekutif Badan Berkanun, GLC, GIC, CLBG dan Badan Korporat serta seluruh keluarga besar penjawat awam dapat memberikan kerjasama dan sokongan dalam memastikan agar tanggungjawab yang diamanahkan ini dilaksanakan sebaiknya.
Nnn
