KUALA LUMPUR 10 Ogos – Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, menerima surat penghargaan daripada Kedutaan Palestin di Malaysia kerana ucapan beliau ketika Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil, 4 Ogos lalu.
Ini berikutan Kedutaan Palestin menyifatkan ucapan Steven Sim yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP itu sebagai ‘solid powerful solidarity speech’ atau ucapan solidariti yang amat berkuasa dan berkesan.
Pengerusi Pertubuhan Solidaritas, Muhammad Najib, yang berkongsi surat itu melalui Facebooknya berkata, Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali mengutuskan surat penghargaan itu yang bertarikh 8 Ogos lalu.
Beliau menzahirkan penghargaan kepemimpinan, kerajaan dan rakyat Palestin, terhadap pendirian tegas Menteri Sumber Manusia itu terhadap perjuangan Palestin dan rakyatnya, menerusi ucapan yang disifatkan sangat berkesan.
Muhammad yang juga Pengerusi DAP Taman Kemuncak berkata, Steven Sim pada himpunan itu antara lain menyebut kemerdekaan negara ini tidak akan lengkap selagi Palestin tidak merdeka.
“Steven Sim dalam ucapannya ketika Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil menegaskan isu Palestin bukan semata-mata isu agama tapi ia adalah isu kemanusiaan sejagat.
“Kefahaman dan dekatnya Steven Sim dengan Palestin ini boleh kita simpulkan melalui satu ayat dalam ucapan beliau yang menyebut kemerdekaan kita tidak lengkap selagi Palestin tidak bebas dan merdeka.
“Ungkapan ini sebenarnya kilasan kepada ungkapan yang sama pernah diucap oleh Nelson Mandela pada 1997 dahulu. Ia membawa maksud kemerdekaan kita tidak bermakna jika masih ada saudara kita yang ditindas serta belum bebas dan merdeka,” katanya.
Walid turut mengirimkan surat bagi memohon kunjungan hormat Kedutaan Palestin terhadap Steven Sim bagi menyampaikan penghargaan secara peribadi terhadap pendirian tegas pemimpin berkenaan.
Pada 4 Ogos lalu, Steven Sim ketika berucap pada Himpunan Pembebasan Palestin di Bukit Jalil, menyifatkan kemerdekaan negara ini sejak 1957 masih tidak lengkap selagi Palestin tidak mencapai kebebasan dan kemerdekaan.
Justeru, beliau menggesa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama wajib mendukung kemerdekaan Palestin kerana perkara yang berlaku di negara Asia Barat itu adalah isu kemanusiaan serta sejagat dan bukannya semata-mata untuk orang Islam.
“Dari 1948 hingga tahun ini, sudah 76 tahun, biarlah generasi kita, zaman kita, masa kita ini, kita akan lihat dari sungai ke segara, Palestin pasti merdeka,” kata Steven Sim ketika himpunan berkenaan.
Nnn