KUALA LUMPUR 9 Ogos – Kegagalan bersaing dengan kenderaan elektrik (EV) dikeluarkan syarikat dari China, menyebabkan Tesla membatalkan rancangan mengembangkan operasi pengeluaran di rantau ini.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Tengku Zafrul telah mendapat maklumat terkini (mengenai Tesla), kerana mereka telah mengalami kerugian (disebabkan) tidak dapat bersaing dgn EV dari China.
“Jadi operasi mereka di Thailand besar, kita baru nak mula. Jadi itu penerangan langsung dari Tesla,” katanya ketika ditemui selepas meluncurkan Garis Panduan Mengenai Pengurusan dan Tatakelola Badan Berkanun Persekutuan di sini hari ini.
Kelmarin sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation, yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu melaporkan mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.
Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand malah juga di peringkat dunia.
Susulan itu, Tengku Zafrul menerusi hantaran di platform X semalam menjelaskan Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia.
Beliau menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk, dalam usaha menarik pelaburan tetapi bukan membabitkan perkara itu.
Dalam pada itu Anwar berkata, kenyataannya mengenai ringgit baru-baru ini disalah erti kerana apa yang sebenarnya dimaksudkan adalah mengenai peningkatan kadar ringgit terkuat di Asia.
“Yang saya singgung tadi rencana yang tidak lihat ucapan saya sebenar yang menyebut peningkatan kadar ringgit menyebabkan ringgit terkuat di Asia. Bukan (nilai) ringgit itu yang terkuat. (Jadi) kalau nak tegur boleh, tetapi rujuk kenyataan yang benar,” katanya.