PUTRAJAYA 9 Ogos – Bilangan tenaga buruh pada suku kedua tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus kepada 17.15 juta berbanding 16.96 juta pada suku pertama tahun ini.
Menurut kenyataan Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan penduduk bekerja naik sebanyak 1.2 peratus, mencecah 16.59 juta pada suku tahun yang sama berbanding 16.4 juta orang pada suku sebelumnya.
Manakala bilangan penganggur terus berkurang sebanyak 0.6 peratus kepada 557,800 pada suku kedua tahun ini berbanding 561,100 pada suku pertama tahun ini, merekodkan kadar pengangguran 3.3 peratus pada suku tahun kedua 2024.
Sementara itu, bilangan tenaga buruh terus meningkat pada Jun lepas dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.17 juta orang berbanding 17.15 juta pada bulan sebelumnya.
Bilangan penganggur pada bulan itu pula turun sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 565,300 berbanding 566,100 pada Mei 2024.
Pada Jun 2024, kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya dengan bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.61 juta orang berbanding 16.58 juta orang pada Mei 2024.
Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; serta maklumat dan komunikasi.
Trend penduduk bekerja yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, serta pertanian.