Negara pengantara gesa rundingan segera

KAHERAH: Pemimpin Amerika Syarikat (AS), Mesir dan Qatar menggesa Israel dan Hamas untuk bertemu dalam satu rundingan di Doha atau Kaherah bagi memuktamadkan gencatan senjata Gaza serta perjanjian pembebasan tebusan.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga negara itu, yang berusaha menjadi pengantara perjanjian, berkata rundingan itu boleh diadakan dalam masa terdekat, 15 Ogos ini sebelum keadaan bertambah tegang.

“Rangka kerja perjanjian itu kini sudah tersedia dengan hanya butiran pelaksanaan yang masih berbaki untuk dimuktamadkan. Tiada masa lagi untuk disia-siakan mahupun alasan daripada mana-mana pihak untuk menangguhkannya.

Sudah tiba masanya untuk membebaskan tebusan, memulakan gencatan senjata, dan melaksanakan perjanjian ini,” kata kenyataan itu.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata perunding Israel akan berada di sana, bagaimanapun, setakat ini, Hamas belum memberikan komen berhubung perkara itu.

Negara pengantara dalam kenyataan bersama berkata, matlamat mereka adalah untuk memuktamadkan butiran dan melaksanakan rangka kerja perjanjian itu.

Ketiga-tiga negara itu turut memberitahu, mereka bersedia untuk membentangkan cadangan penyambungan muktamad bagi menyelesaikan isu yang masih berbangkit.

Pejabat Netanyahu semalam berkata, Israel akan menghantar pasukan perunding pada 15 Ogos ini ke tempat yang dipersetujui bagi memuktamadkan butiran pelaksanaan perjanjian terbabit.

Potensi pemberhentian permusuhan itu turut membabitkan pembebasan tebusan yang ditahan di Gaza dan penyampaian bantuan yang dipertingkatkan tertumpu pada perjanjian berperingkat yang bermula dengan gencatan senjata awal.

Nnn

Related posts

Leave a Comment