10,423 laman sesawang disekat sejak 2022

PUTRAJAYA 8 Ogos – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat sebanyak 10,423 laman sesawang susulan pelanggaran undang-undang dalam tempoh 1 Januari 2022 hingga 1 Ogos lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan 95.7 peratus laman sesawang yang disekat tergolong dalam lima kategori utama.

Kategori itu adalah perjudian dalam talian (4,484), pornografi (3,271), pelanggaran hak cipta dalam talian (1, 654), scam atau pelaburan haram dalam talian (316) dan pelacuran dalam talian (249).

Dalam tempoh lima tahun, menurut MCMC jumlah sekatan laman sesawang yang mempunyai kandungan kemudaratan dalam talian tertinggi direkodkan pada 2021 iaitu sebanyak 6,571 dan ini menunjukkan trend penurunan sehingga Ogos lalu.

Sebagai mekanisme perlindungan kepada pengguna, MCMC memaklumkan bahawa sekatan yang dilakukan adalah mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998) serta undang-undang di bawah bidang kuasa agensi penguatkuasaan yang lain.

Antaranya membabitkan kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Sekuriti.

“Dalam konteks yang lebih besar, sekatan kepada laman-laman sesawang turut dapat mengekang jenayah-jenayah lain antaranya pemerdagangan manusia, pengantunan kanak-kanak, penjualan bahan terlarang seperti dadah serta jenayah terancang yang lain, ” katanya.

Bagi memastikan sekatan ini kekal berkesan dan selari dengan perkembangan teknologi, MCMC komited bekerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan tempatan bagi menambah baik dan memperkukuh langkah-langkah pencegahan dan perlindungan, termasuklah dalam aspek pengurusan Domain Name System (DNS).

Kerjasama MCMC bersama penyedia perkhidmatan, dapat memastikan persekitaran dalam talian yang selamat, seterusnya menjamin keselamatan segenap lapisan pengguna.

Ini adalah selaras dengan 10 Matlamat Dasar Kebangsaan di bawah AKM 1998 termasuk menjamin keselamatan maklumat dan kebolehpercayaan dan keutuhan rangkaian.

Usaha ini juga memerlukan pendekatan holistik keseluruhan negara daripada segenap lapisan masyarakat untuk tidak melangkaui mekanisme perlindungan tersedia yang boleh memberi kesan negatif kepada diri serta keluarga, khususnya remaja dan kanak-kanak.

Nnn

Related posts

Leave a Comment