Tesla tidak pernah cadang buka kilang

PUTRAJAYA 8 Ogos – Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan, Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di negara ini.

Katanya, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan pembukaan kilang.

Menerusi hantaran di platform X (Twitter), beliau juga berkata, laporan media asing berkaitan perkara itu (berkaitan kilang) bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita dalam talian Thailand, yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.

Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand malah juga di peringkat dunia.

Menurut laporan itu Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman.

Pada Mac 2023, Tesla mengumumkan rancangan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.

Ia selepas MITI meluluskan permohonan Tesla untuk mengeksport Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) ke Malaysia.

Tengku Zafrul juga berkata dalam usaha mengukuhkan ekosistem kereta elektrik (EV), kerajaan telah memperkenalkan Inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri yang terbuka untuk mana-mana pembuat kenderaan EV.

Antara syarat yang dikenakan ialah memasang sekurang-kurangnya 50 unit ultra fast charger dengan kapasiti melebihi 180 kWh dan memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada ultra fast charger yang telah dibangunkan di Malaysia dibuka untuk kegunaan awam iaitu untuk jenama kenderaan selain daripada jenama milik syarikat.

Selain itu, pembuat kenderaan EV yang berminat perlu bekerjasama dengan sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dalam membangunkan ekosistem industri perkhidmatan pengecasan EV.

Kerjasama itu termasuk menggunakan kontraktor tempatan yang membuat pemasangan pengecas EV, pembekal peralatan seperti transformer, kabel dan lain-lain.

Tengku Zafrul berkata tujuan inisiatif itu adalah untuk meningkatkan rangkaian pengecas bagi kegunaan pemilik kenderaan EV tempatan di samping meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem pengecasan EV.

‘Setakat ini, hanya Tesla yang telah memohon dan diluluskan penyertaannya dalam inisiatif Global BEV ini tetapi kita mengalu-alukan penyertaan pembuat EV lain. Jadi, bila kata Tesla dapat layanan istimewa, tak betul tu, mana-mana syarikat pun boleh memohon untuk inisiatif ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment