PUTRAJAYA 3 Ogos – : Hampir 50 peratus penjawat awam khususnya di Putrajaya mengalami masalah berat badan berlebihan, kata Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali.
Justeru, beliau menggalakkan penjawat awam berkenaan menjalankan pelbagai aktiviti sihat sebagai usaha memperoleh tahap kesihatan yang lebih baik.
“Saya dimaklumkan bahawa 50 peratus obes dalam kalangan penjawat awam khususnya di Putrajaya. Jadi, adalah penting untuk mereka ini terbabit dalam aktiviti sihat termasuk acara larian seperti hari ini yang amat kita galakkan,” katanya.
Beliau sebelum itu menyertai program Car Free Day (CFD), hari ini yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Yang turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Mohd Zuki berkata, program sihat membabitkan larian pada hujung minggu akan diteruskan di setiap kementerian, agensi-agensi kerajaan di seluruh negara selepas ini.
“Larian sebegini sebagai satu bukti untuk kita menggalakkan budaya sihat dalam kalangan penjawat awam khususnya,” katanya.
Mengenai program kemerdekaan, Mohd Zuki berkata, agensi kerajaan ketika ini sudah bersedia meraikan bulan itu selepas penganjuran kempen kibar jalur gemilang oleh Perdana Menteri minggu lalu.
“Semua pihak sudah mengambil inisiatif untuk mengibarkan jalur gemilang malah mengatur pelbagai program sempena bulan kemerdekaan seperti acara patriotik dan membaca puisi. Kita jangkakan ia akan (meningkat) ‘peek’ menjelang 31 Ogos ini,” katanya.
CFD yang dirasmikan oleh Fadillah hari ini turut menganjurkan Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) yang membabitkan lebih 1,500 penjawat awam dan keluarga.
Program CFD yang dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan diadakan pada minggu keempat pada setiap bulan, yang mana ia diadakan semula selepas enam tahun.
Ia dilakukan untuk memberi peluang kepada penduduk sekitar menjalankan pelbagai aktiviti riadah sihat seperti berjalan dan menaiki basikal.
Sepanjang tempoh CFD, penutupan penuh akan dijalankan di Dataran Putrajaya, bermula di Persimpangan Menara Prisma ke Persimpangan Menara Tulus
