Rakyat Palestin terus melarikan diri

GAZA: Beribu-ribu rakyat Palestin di tengah Semenanjung Gaza terpaksa melarikan diri lagi susulan arahan pemindahan baharu dikeluarkan Israel selepas serangan di bagagian selatan sekali gus memburukkan lagi keadaan di kawasan itu.

Tentera Israel, yang kini menawan hampir seluruh Semenanjung Gaza dalam tempoh hampir 10 bulan perang, turut melancarkan operasi besar-besaran sejak beberapa minggu lalu di kawasan yang mereka dakwa sebelum ini berjaya dirampas daripada pejuang Hamas.

Deir al-Balah, sebuah bandar kecil di tengah wilayah, satu-satunya kawasan utama belum diserang, berikutan pertempuran di bandar Khan Younis di selatan Gaza sejak minggu lalu.

Dalam serangan terbaru, Israel pada Ahad mengarahkan penduduk melarikan diri dari Al-Bureij, di timur laut Deir.

Tentera Israel berkata, jet pejuang menyerang 35 sasaran di seluruh Semenanjung Gaza sepanjang beberapa hari lalu ketika bertempur dengan pejuang Hamas di Khan Younis dan Rafah, dekat dengan sempadan Mesir.

Sayap bersenjata Hamas dan Jihad Islam berkata, pertempuran senjata sengit berlaku secara berterusan di kedua-dua kawasan itu serta di pinggir bandar Tel Al-Hawa, terletak di bahagian utara Bandar Gaza.

Pegawai perubatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya lapan rakyat Palestin terbunuh dalam serangan udara Israel di Khan Younis, sebelum ini.

Pada Ahad, tentera mengeluarkan arahan pemindahan baharu ke beberapa daerah di Bureij, memaksa beribu-ribu orang beredar sebelum tentera meletupkan beberapa kediaman.

Related posts

Leave a Comment