Masoud Pezeshkian, angkat sumpah presiden Iran

TEHRAN: Reformis Iran, Masoud Pezeshkian, 69 mengangkat sumpah sebagai presiden kesembilan republik Islam itu untuk tempoh empat tahun pada petang Selasa waktu tempatan dalam satu upacara di adewan Utama Parlimen.

Upacara yang turut dihadiri delegasi dari kira-kira 88 buah negara dan pegawai kanan Kerajaan Iran itu diadakan dua hari selepas Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam Ayatollah Seyyed Ali Khamenei mengesahkan keputusan pilihan raya presiden itu.

“Saya sebagai presiden, di hadapan kitab sucu al-Quran dan rakyat Iran, bersumpah kepada Tuhan Maha Kuasa untuk menjadi penjaga agama rasmi, sistem Republik Islam dan perlembagaan negara,” katanya dalam acara yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen negara itu.

Pezeshkian, pakar bedah jantung dipilih sebagai presiden kesembilan Iran selepas undian semula pilihan raya presiden itu pada 5 Julai lalu.

Beliau memperoleh 16,384,403 undi manakala lawannya, ultrakonservatif, Saeed Jalili, bekas perunding nuklear utama dan ketua badan keselamatan tertinggi meraih 13,538,179 undi.

Pezeshkian, sebelum dipilih sebagai Presiden Republik Islam Iran, adalah seorang ahli Parlimen Iran yang kurang dikenali dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.

Sebelum ini, dua cubaan beliau bertanding untuk jawatan presiden, masing-masing pada 2013 dan 2021, tidak berjaya.

Pada tahun 2013, beliau menarik diri daripada pertandingan memilih presiden dan menyokong bekas Presiden, Hashemi Rafsanjani, diikuti pada 2021, tetapi pencalonannya ditolak oleh Majlis Penjaga, badan pemeriksa tertinggi negara.

Related posts

Leave a Comment