PUTRAJAYA 30 Julai – Semua premis yang terlibat diminta menghentikan serta merta aktiviti penjualan produk ais krim yang dicampur ubat batuk tradisional Pei Pa Koa (Cap Ibu dan Anak) bagi keselamatan pengguna.
Kementerian Kesihatan (KKM) mengeluarkan arahan itu susulan semakan KKM melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mendapati ais krim berkenaan disediakan bersama picagari berisi ubat batuk Pei Pa Koa.
Dalam kenyataannya, KKM menegaskan Seksyen 13B (2) Akta Makanan 1983 tidak membenarkan penyediaan atau penjualan apa-apa makanan yang diadukkan dan sekiranya disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.
“Pihak industri makanan diingatkan supaya bertanggungjawab untuk memastikan semua produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya walaupun bagi tujuan untuk pemasaran dan melariskan jualan,” kata kenyataan itu
Arahan sama turut diberikan kepada semua media pengiklanan termasuk platform e-dagang dan media sosial agar menghentikan penyiaran iklan makanan berkenaan.
KKM turut menasihatkan orang ramai supaya lebih peka dengan isu keselamatan makanan dan sentiasa berhati-hati semasa membeli produk makanan yang mungkin diaduk dengan bahan tidak sesuai atau tidak selamat untuk dimakan.
Nnn
