KOTA BHARU 28 Julai – Naib Presiden Pas, Mohd Amar Abdullah menafikan dakwaa kononnya ada pemimpin pembangkang mahu bertemu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Timbalannya, Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk berbincang mengenai kerjasama Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).
Sebaliknya, beliau berkata apa yang sebenarnya berlaku adalah Pas bersama parti lain dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini sedang memperkukuh kerjasama gabungan politik itu.
“Setahu saya, tiada pemimpin pembangkang mahu mengadakan perbincangan atau pertemuan dengan kedua-dua pemimpin Kerajaan Perpaduan itu. (Itu tidak berlaku) kerana sikap mereka yang suka mungkir janji,” katanya.
Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan mengulas kenyataan Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO yang mengakui terdapat wakil parti politik pembangkang mahu berjumpa beliau dan Anwar untuk berunding membentuk kerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ketika ini beliau masih belum terbuka hati untuk berjumpa wakil daripada parti berkenaan.
“Ada delegasi yang datang mahu jumpa saya dan Anwar, saya tidak terbuka hati lagi jumpa mereka. “Saya pesan jangan dipatuk ular yang sama untuk kali kedua di tempat yang sama,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height di sini, malam semalam.
Nnnn
