MDUR 88 setanding Musang King diperluas

KUALA KANGSAR 28 Julai – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bercadang memperluas tanaman durian hibrid MDUR 88 yang setanding dengan durian jenis Musang King, sekaligus bagi meningkatkan eksport.

Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata varieti durian MDUR 88 yang dihasilkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerima permintaan yang tinggi daripada penggemar raja buah itu.

Menurutnya, berdasarkan dapatan dilakukan, didapati MDUR 88 mempunyai rasa menyamai jenis musang king, dengan harganya jauh lebih berpatutan di pasaran.

Justeru, tanaman durian MDUR 88 akan diperluaskan di negara ini kerana pengeluarannya masih belum mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara sebelum kita mengeksportnya.

Arthur berkata, setakat ini, pengeluaran durian MDUR 88 yang diperkenalkan pada 1991 masih belum mencukupi untuk menampung permintaan dalam negara

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja ke Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar yang turut dihadiri Pengarah MARDI Perak, Zaiha Zeeti Mohamad Yusob di sini hari ini.

Katanya, Duriotourism@Mardi Kuala Kangsar menerima ramai pengunjung dari luar seperti China, Thailand, Kazakhstan dan mereka boleh menerima varieti durian MDUR 88 ini.

Menurut beliau, durian MDUR 88 mempunyai keenakan tersendiri kerana mempunyai tekstur yang halus selain rasa lemak manis membuatkan ia disukai kebanyakan pengunjung dan boleh ke pasaran antarabangsa.

“Pada pendapat saya, durian MDUR 88 adalah durian paling sedap yang pernah dimakan dan harganya sangat berpatutan di pasaran,” katanya.

MDUR 88 merupakan klon durian hibrid yang telah dibangunkan oleh MARDI iaitu hasil kacukan antara induk D10 dengan D24 dan pertama kali diisytiharkan pada 1991.

Turut hadir dalam lawatan itu adalah Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Pengerusi MARDI, Dr. Azman Ismail.

Lebih daripada 20 jenis durian klon dan kampung ditanam di sini, termasuk durian hibrid MARDI seperti MDUR 78 (D188), MDUR 78 (D189), dan MDUR 88 (D190) yang sering mendapat permintaan tinggi daripada pengunjung dan penanam durian di seluruh negara.

Nnn

Related posts

Leave a Comment