PUTRAJAYA 23 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), merekodkan 37,242 warganegara berumur 18 tahun dan ke atas didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, dalam tempoh 1 hingga 30 Jun lalu.
Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan berkata, dalam tempoh yang sama, 5,054 pemilih berdaftar bertukar bahagian pilihan raya dan 4,785 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
Untuk rekod, dalam tempoh 1 hingga 31 Mei 2024, sebanyak 39,019 warganegara didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu, 6,547 pemilih berdaftar bertukar bahagian pilihan raya dan 1,710 pemilih bertukar status/kategori pengundi.
Ikmalrudin berkata, Daftar Pemilih Tambahan Bulan Jun 2024 (DPT BLN6/2024) telah diperaku dan diwartakan pada 23 Julai dan dibuka untuk semakan selama 30 hari mulai hari iji hingga 21 Ogos 2024.
“SPR menyeru kepada warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Jun 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status, untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN6/2024,” katanya.
Katanya, SPR menyediakan lima kaedah semakan bagi DPT BLN6/2024 iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my; portal rasmi Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian https://myspr.spr.gov.my.
Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak atau talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-88927218.
Ikmalrudin berkata sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN6/2024, pemilih tersebut boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Beliau berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat melakukan bantahan terhadap kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN6/2024.
Nnn
